Sunday, February 16, 2025
22 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Selatan umum pakej sokongan AS$250 bilion untuk eksport

    SEOUL, 20 JAN – Korea Selatan hari ini mengumumkan pakej sokongan berjumlah AS$250 bilion bagi pengeksport, berikutan kebimbangan terhadap kemungkinan tarif yang akan diperkenalkan oleh Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.

    Pengumuman itu dibuat beberapa jam selepas bank pusat menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi negara, merujuk kepada ketidaktentuan politik yang berlanjutan selepas Presiden Yoon Suk Yeol mengisytiharkan darurat tentera bulan lalu.

    Yoon mencetuskan kekacauan politik apabila cuba menggantung pemerintahan awam pada 3 Disember, meskipun undang-undang tersebut ditolak oleh ahli parlimen hanya enam jam kemudian.

    Beliau kemudiannya dipecat dan menjadi ketua negara pertama yang ditahan atas siasatan jenayah berhubung tuduhan pemberontakan.

    Kementerian Kewangan Korea Selatan menyatakan, sokongan itu diperuntukkan kepada pengeksport utama negara, termasuk Samsung dan peneraju semikonduktor SK hynix, bagi menghadapi risiko yang semakin meningkat di peringkat global.

    “Ketidaktentuan luar, seperti pelantikan pentadbiran baharu di AS, menimbulkan kebimbangan terhadap potensi kesan buruk kepada sektor eksport,” kata Timbalan Pengarah Bahagian Sokongan Kementerian Kewangan, Kim Dong-joon.

    Bagi mengatasi cabaran ini, “kerajaan merancang untuk menyediakan pembiayaan eksport bernilai AS$248.1 bilion tahun ini, suatu skala yang belum pernah dilakukan sebelum ini,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

    Akibat kekacauan politik yang berpanjangan, nilai mata wang won Korea Selatan jatuh ke paras terendah berbanding dolar AS dalam beberapa minggu kebelakangan ini.

    Kementerian berkenaan turut memaklumkan bahawa bagi mengurangkan turun naik kadar pertukaran asing, mereka akan meningkatkan peruntukan belanjawan untuk insurans turun naik kadar pertukaran. – AFP

    Gambar Canva
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda