SEOUL, 3 JUN – Rakyat Korea Selatan telah keluar mengundi kelmarin dalam pilihan raya presiden yang menyaksikan pertandingan antara calon liberal yang mahu menghukum pihak yang bertanggungjawab atas cubaan perintah darurat oleh bekas Presiden, Yoon Suk Yeol dan calon konservatif yang mahu menghentikan tindakan melulu lawannya, lapor agensi berita Yonhap.
Pilihan raya itu berlangsung tepat enam bulan selepas Yoon mengisytiharkan perintah darurat secara mengejut, sebuah tindakan yang membangkitkan kenangan gelap rejim tentera masa lalu dan menjerumuskan negara ke dalam krisis ekonomi dan politik terburuk dalam beberapa dekad.
Lee Jae-myung, calon dari Parti Demokratik (DP) yang berhaluan liberal, berkempen dengan janji untuk menentang ‘kumpulan pemberontak’ yang diketuai Yoon susulan pemecatan beliau daripada jawatan presiden kurang tiga tahun dalam tempoh lima tahun mandatnya.
Kim Moon-soo, calon dari Parti Kuasa Rakyat (PPP) yang konservatif, pula menyerang gaya kepimpinan Lee yang lantang dan beberapa perbicaraan mahkamah yang sedang dihadapinya, sambil berjanji untuk membebaskan negara daripada ‘diktator’.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan (NEC), pengundian bermula pada 6 pagi dan berakhir pada 8 malam di 14,295 pusat mengundi di seluruh negara. Seramai 44,391,871 pengundi berdaftar layak mengundi, termasuk lebih 15.4 juta orang yang telah mengundi awal dalam tempoh dua hari minggu lalu.
Kadar keluar mengundi awal ialah 34.74 peratus, kadar kedua tertinggi sejak sistem itu diperkenalkan pada 2014.
Pengiraan undi akan bermula sebaik sahaja pusat mengundi ditutup.
Menurut NEC, keputusan bagi undian tersebut dijangka diketahui sekitar tengah malam, manakala pengiraan dijangka selesai sekitar 6 pagi hari ini.
Sebaik sahaja pengiraan selesai, NEC akan mengadakan mesyuarat pleno antara 7 dan 9 pagi untuk meluluskan keputusan secara rasmi. – Bernama
