SEOUL, 12 OGOS – Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung kelmarin berkata beliau dan Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam, To Lam, telah bersetuju untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang utama termasuk pertahanan, tenaga, bahan kritikal, sains dan sistem rel, semasa sidang kemuncak di Seoul, lapor Sputnik/RIA Novosti.
Pertemuan itu merupakan lawatan negara pertama oleh pemimpin asing ke Korea Selatan di bawah pentadbiran baharu, yang berlangsung dari 10 hingga 13 Ogos.
Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk meningkatkan komunikasi strategik dan tindakan bersama dalam dasar luar, pertahanan dan keselamatan, termasuk kerjasama dalam Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) dan forum Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC).
“Kami telah memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam industri pertahanan dan penguatkuasaan undang-undang bagi mempromosi keamanan serta kestabilan di rantau ini, dan untuk mempergiat pertukaran antara parlimen serta kerajaan tempatan kedua-dua negara,” kata Lee.
Seoul dan Hanoi turut bersetuju untuk mempercepatkan pertumbuhan perdagangan dan pelaburan. Sempena ulang tahun ke-10 perjanjian perdagangan bebas kedua-dua negara, mereka mengesahkan semula sasaran untuk mencapai perdagangan dua hala bernilai AS$150 bilion menjelang 2030. – Bernama


