SEOUL, 9 MEI – Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol hari ini mengesahkan komitmennya untuk menggerakkan hubungan dengan Jepun ke tahap yang lebih tinggi, dan berkata kedua-dua negara boleh melakar masa depan baharu yang lebih baik jika mereka membina kepercayaan melalui pertukaran dan kerjasama.
Yoon membuat kenyataan itu pada mesyuarat Kabinet dua hari selepas sidang kemuncaknya dengan Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida di Seoul, menurut agensi berita Yonhap.
Sidang kemuncak kedua dalam tempoh kurang dari dua bulan itu menandakan penyambungan semula diplomasi ulang-alik antara pemimpin kedua-dua negara selepas berehat selama 12 tahun.
“Perkara yang tidak dapat dibayangkan antara Korea Selatan dan Jepun sudah berlaku,” katanya memetik persetujuannya dengan Kishida untuk meminta sekumpulan pakar Korea Selatan memeriksa pelepasan air radioaktif yang dirancang dari loji tenaga nuklear Fukushima yang lumpuh.
“Jika Korea Selatan dan Jepun, yang berkongsi nilai demokrasi liberal, bertukar-tukar antara satu sama lain, bekerjasama dan membina kepercayaan, hubungan Korea Selatan-Jepun akan dapat membangunkan masa depan baharu melangkaui masa lampaunya,” katanya. – Bernama


