SEOUL, 19 JUN – Parti pemerintah Korea Utara mengecam keras pelancaran satelit yang gagal baru-baru ini dalam mesyuarat peringkat tinggi, lapor media kerajaan, hari ini dan mengkritik pegawai yang bertanggungjawab.
Korea Utara cuba meletakkan satelit pengintip tenteranya yang pertama ke orbit pada 31 Mei, tetapi peluru dan muatannya terhempas ke laut sejurus selepas pelancaran disebabkan kegagalan roket seperti yang dinyatakan oleh Pyongyang.
Dalam laporan daripada mesyuarat Jawatankuasa Pusat Parti Pekerja Korea, parti pemerintah “mengkritik keras pegawai yang secara tidak bertanggungjawab melakukan persiapan untuk pelancaran satelit” dan menuntut siasatan terhadap kegagalan serius, tersebut, lapor berita kerajaan, KCNA.
Jawatankuasa itu mengulangi janji untuk segera melancarkan satelit pengintipnya tidak lama lagi, yang sebelum ini dikatakan Pyongyang sebagai keperluan untuk mengimbangi kehadiran tentera Amerika Syarikat (AS) yang semakin meningkat di rantau itu.
Pelancaran pada 31 Mei itu dikecam oleh AS, Korea Selatan dan Jepun, yang menyatakan bahawa ia melanggar resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang melarang negara bersenjata nuklear tersebut daripada melakukan sebarang ujian menggunakan teknologi peluru berpandu balistik.
Penganalisis telah menyatakan bahawa terdapat pertindihan teknologi yang ketara antara pembangunan peluru berpandu balistik antarabenua dan keupayaan pelancaran angkasa lepas.
Seiring dengan percubaan pelancaran satelit, Korea Utara telah melakukan beberapa pelancaran yang melanggar sekatan tahun ini, termasuk menguji peluru berpandu balistik antara benua yang paling berkuasa.
Hubungan antara Korea Utara dan Korea Selatan sedang berada di tahap terendah, dengan diplomasi terhenti dan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un menyeru untuk meningkatkan pembangunan senjata, termasuk senjata nuklear taktikal. – AFP


