SEOUL, 18 NOV – Korea Utara mengecam perjanjian antara Seoul dan Washington untuk membina kapal selam berkuasa nuklear, dengan menyatakan dalam komentar media rasmi hari ini menyatakan perjanjian itu akan mencetuskan ‘kesan domino nuklear.’
Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung mengumumkan pemeteraian perjanjian keselamatan dan perdagangan yang sudah lama dinantikan dengan Amerika Syarikat (AS) minggu lalu, termasuk rancangan untuk meneruskan pembangunan kapal berkuasa nuklear.
Seoul berkata mereka telah memperoleh ‘sokongan untuk memperluas kuasa ke atas penghasilan uranium dan pemprosesan bahan api terpakai.’
Dalam kenyataan balas pertama terhadap perjanjian itu, Korea Utara yang bersenjatakan nuklear itu membalas bahawa program kapal selam itu merupakan satu ‘cubaan berbahaya untuk konfrontasi.’
Perjanjian itu merupakan ‘perkembangan serius yang menjejaskan kestabilan keselamatan ketenteraan di rantau Asia-Pasifik di luar Semenanjung Korea dan menyebabkan keadaan kawalan nuklear global menjadi mustahil,’ menurut komentar yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA), hari ini.

Pemilikan kapal selam nuklear oleh Korea Selatan ‘pasti akan menimbulkan ‘fenomena domino nuklear’ di rantau tersebut dan mencetuskan perlumbaan senjata yang sengit,’ tambah Pyongyang.
Ia juga menyatakan, “DPRK (Korea Utara) akan mengambil langkah balas yang lebih wajar dan realistik, berikutan niat konfrontasi kedua-dua negara itu.
Media rasmi Korea Utara pada bulan Oktober turut melaporkan negara itu telah melancarkan ujian kesembilan dan terakhir enjin peluru berpandu, menunjukkan pelancaran penuh ICBM baharu mungkin dilakukan dalam beberapa bulan akan datang.
Kenyataan tersebut dibuat sehari selepas Seoul mencadangkan perbincangan ketenteraan dengan Pyongyang untuk mengelakkan pertempuran sempadan, tawaran pertama seumpamanya dalam tempoh tujuh tahun.
Presiden Lee juga menawarkan untuk mengadakan perbincangan dengan Korea Utara tanpa syarat, satu perubahan drastik berbanding pendirian agresif pendahulunya yang konservatif.
Perjanjian antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat bertujuan untuk ‘melindungi negara dan mengukuhkan pakatan keselamatan antara Korea dan AS,’ menurut jurucakap presiden, Kang Yu-jung.
Komen Korea Utara menunjukkan kebimbangan daripada negara bersenjatakan nuklear kerana jika Korea Selatan memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, ‘ia boleh menjadi batu loncatan bagi negara itu untuk mencapai status negara separa senjata nuklear,’ beritahu seorang profesor di Universiti Pengajian Korea Utara di Seoul, Yang Moo-jin, kepada AFP.
“Tindakan itu mungkin menjejas prospek rundingan tentera antara Korea,” tambah Yang. – AFP
