SEOUL, 9 OKT – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat (SRBM) ke arah Laut Timur, hari ini, lapor agensi berita Yonhap.
Ketua Staf Bersama (JCS) berkata pihaknya mengesan peluru berpandu dilancarkan dari kawasan Munchon di Wilayah Gangwon antara 1:48 pagi dan 1:58 pagi dan terbang sejauh 350 kilometer (km) pada ketinggian sekitar 90km dengan kelajuan maksima Mach 5.
Peluru berpandu itu dianggap sebagai peluru berpandu “berkaliber super mega” yang dilancarkan daripada sistem pelancaran roket berbilang dikenali KN-25, menurut pemerhati di Seoul.
Pelancaran itu provokasi peluru berpandu ketujuh Korea Utara dalam tempoh dua minggu selepas Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) menjalankan latihan ketenteraan bersama, melibatkan kapal induk USS Ronald Reagan pada Sabtu dan latihan tiga hala dengan sekutu Jepun pada Khamis.
Pelancaran itu turut berlaku pada malam ulang tahun ke-77 penubuhan Parti Pekerja yang memerintah Korea Utara.
“Siri peluru berpandu balistik Korea Utara baru-baru ini tindakan provokasi ketara yang menjejaskan keamanan bukan sahaja di Semenanjung Korea tetapi juga masyarakat antarabangsa dan jelas melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
“Tentera kita akan mengekalkan kedudukan sambil memantau pergerakan berkaitan (peluru berpandu) dengan kerjasama AS sebagai persediaan menentang provokasi tambahan,” menurut JCS. – Bernama
