SEOUL, 19 MAC – Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik jarak dekat hari ini, kata tentera Seoul, pertunjukan kekuatan keempat dalam masa seminggu ketika Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) mengadakan latihan ketenteraan besar-besaran.
Seoul dan Washington telah meningkatkan kerjasama pertahanan dalam menghadapi ancaman ketenteraan dan nuklear yang semakin meningkat dari Korea Utara, yang telah menjalankan beberapa siri ujian senjata terlarang yang semakin provokatif dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Korea Selatan dan AS telah menjalani latihan bersama selama 11 hari yang dikenali sebagai Freedom Shield, latihan terbesar mereka dalam tempoh lima tahun.
Korea Utara memandang semua latihan tersebut sebagai latihan untuk pencerobohan dan telah berulang kali memberi amaran bahawa ia akan mengambil tindakan yang ‘besar-besaran’ sebagai respons.
“Tentera kami mengesan satu peluru berpandu balistik jarak dekat dilepaskan dari sekitar kawasan Tongchangri di wilayah Pyongan Utara pada 11:05 pagi ke arah Laut Timur,” kata Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS), merujuk kepada Laut Jepun.
Peluru berpandu itu terbang sejauh 800km dan sedang dianalisis oleh perisikan AS dan Korea Selatan, kata JCS dalam satu kenyataan, menyebut pelancaran itu sebagai ‘provokasi serius’ yang melanggar sekatan PBB. – AFP