Korea U siap bina empangan Phalhyang

SEOUL, 5 DIS – Korea Utara telah menyiapkan pembinaan sebuah empangan di wilayah timur laut selepas lebih setahun pemimpin negara Kim Jong Un melawat kawasan tersebut dan memarahi petugas yang didakwa tidak cekap serta melengah-lengahkan kerja, lapor agensi berita Yonhap memetik laporan media rasmi pada hari ini.

“Empangan Phalhyang di Stesen Janakuasa Orangchon telah dibina dengan hebat. Empangan di kawasan Orangchon adalah sebuah bangunan besar dan produk yang tidak bergantung kepada orang lain,” lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

Pembinaan empangan itu ‘telah membuka prospek yang cerah bagi mempercepat penyiapan’ stesen janakuasa dan membantu menyelesaikan ‘isu elektrik yang tegang’ di Korea Utara, menurut KCNA.

Menurut KCNA, satu majlis telah diadakan semalam bagi meraikan penyiapan empangan itu.

Akhbar rasmi Korea Utara Rodong Sinmun melaporkan pada Oktober bahawa pembinaan empangan itu telah selesai.

Kim telah melawat kawasan yang terletak di Wilayah Hamgyong Utara itu pada Julai tahun lepas dan melontarkan kritikan keras terhadap pekerja serta pegawai terbabit kerana gagal menyelesaikan pembinaan empangan tersebut selepas hampir 20 tahun ia bermula. – Bernama