WASHINGTON, 26 April – Korea Utara menuntut Amerika Syarikat (AS) membayar bil perubatan AS$2 juta bagi pelajar AS, Otto Warmbier yang koma selepas dikatakan diseksa di negara itu, menurut satu laporan.
Washington Post memetik sumber tidak dikenal pasti sebagai mengatakan bahawa seorang pegawai AS diminta menandatangani janji untuk membayar invois bagi kos perubatan sebelum dibenarkan membawa Warmbier pulang ke tanah air dari Pyongyang dalam tahun 2017.
Utusan khas itu telah menandatangani persetujuan itu atas arahan Presiden Donald Trump, menurut laporan Post.
Tidak jelas sama ada bil itu pernah dibayar, menurut laporan itu lagi.
Namun Presiden Donald Trump,hari ini, menegaskan bahawa AS tidak membuat sebarang bayaran bagi pembebasan Warmbier, “Tiada bayaran dibuat kepada Korea Utara bagi Otto Warmbier, tiada dua juta, tiada apa-apa.”

Warmbier, seorang pelajar Universiti Virginia telah dipenjarakan kerana dituduh menurunkan poster propaganda di bilik penginapan hotel ketika lawatan ke Korea Utara.
Para doktor mengatakan dia mengalami kecederaan teruk pada otaknya ketika dalam tahanan Korea Utara, menjadi koma dan meninggal dunia beberapa hari selepas tiba di AS.
Korea Utara menolak dakwaan keluarga Warmbier bahawa dia telah diseksa, dengan mengatakan Warmbier telah dijangkiti botulisme.
Seorang koroner yang memeriksa mayat Warmbier berkata “Kesimpulannya kami tidak tahu apa yang telah berlaku ke atasnya.”
Trump telah menjadikan pemulihan hubungan baik dengan Korea Utara sebagai salah satu dasar khas beliau dan telah mengadakan dua sidang kemuncak dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Pada pertemuan terakhir mereka di Hanoi pada Februari lalu, Trump berkata beliau menerima dakwaan Kim bahawa dia tidak mengetahui apa yang telah berlaku ke atas Warmbier ketika dalam penjara, meskipun kes itu adalah kes yang sangat sensitif. – AFP