Monday, May 12, 2025
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara ajak berunding

    SEOUL, 24 SEPT – Adik kepada pemimpin berpengaruh Korea Utara, Kim Jong Un hari ini mengatakan negaranya bersedia menyambung rundingan dengan Korea Selatan jika syarat-syarat yang dikenakan dipenuhi, menunjukkan bahawa ia mahu Seoul memujuk Washington melonggarkan sekatan ekonomi yang melumpuhkan negara itu.

    Kenyataan Kim Yo Jong (gambar) dibuat beberapa hari selepas Korea Utara melaksanakan ujian peluru berpandu pertamanya dalam enam bulan, yang mana beberapa pakar mengatakan ia adalah pertunjukan kekuatan senjatanya jika sekatan diketuai AS diteruskan dan dalam masa yang sama diplomasi nuklear masih terbantut.

    Dia menawarkan rundingan sambil menyebut seruan Presiden Korea Selatan Moon Jae-in semasa berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, bagi satu deklarasi politik menamatkan Perang Korea 1950-53 untuk membawa perdamaian ke semenanjung Korea.

    “Tersenyum paksa, membaca deklarasi penamatan perang dan dirakamkan fotonya mungkin penting bagi seseorang, namun saya kira ia tidak akan mengubah apa-apa, memandangkan ketaksamaan yang masih wujud, perbezaan ketara dan permusuhan,” kata Kim Yo Jong dalam satu kenyataan dikeluarkan media negara itu.

    Menurutnya, Korea Utara bersedia untuk mengadakan ‘rundingan membina’ dengan Korea Selatan bagi membincangkan cara untuk memperbaiki dan menjalin semula hubungan yang renggang jika Selatan berhenti memprovokasi Utara dengan dasar berseteru, kenyataan yang tidak boleh dipercayai dan pengurusan dwistandard.

    Kementerian Penyatuan Korea Selatan mengatakan ia sedang menilai semula kenyataan Kim Yo Jong itu dengan berhati-hati. Ia mengatakan Korea Selatan akan meneruskan usaha untuk memperbaiki hubungan dengan Korea Utara. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda