Thursday, April 24, 2025
30.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara anjur kongres parti pekerja

    SEOUL, 6 JAN – Pemerintah Korea Utara, Kim Jong Un semalam merasmikan Kongres Parti Pekerja yang jarang diadakan, yang dijangka menggariskan perancangan ekonomi dan politik baharu, lapor media negara itu.

    Kongres yang pertama kali diadakan dalam tempoh lima tahun dan yang kelapan dalam sejarah Korea Utara, diadakan hanya beberapa minggu sebelum bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden memegang jawatan itu secara rasmi.

    Hubungan antara Korea Utara dengan AS kini dalam kebuntuan sejak rundingan antara Presiden AS, Donald Trump dan Jong Un tertangguh.

    Pyongyang juga berada dalam tekanan kewangan susulan penularan pandemik COVID-19 dan bencana banjir yang melanda negara itu.

    “Kongres Parti Pekerja Korea (WPK) Ke-8 dirasmikan di Pyongyang. Pemerintah Agung mengimbas kejayaan dicapai parti dan rakyat dalam tempoh itu.

    “Beliau turut menganalisis kesilapan yang berlaku dalam usaha melaksanakan strategi lima tahun,” lapor Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

    Korea Utara berdepan salah tadbir ekonomi yang kronik dan perancangan sebelum ini dibatalkan secara diam-diam awal tahun ini, dengan mesyuarat parti pada Ogos lalu menyimpulkan bahawa ‘matlamat untuk meningkatkan ekonomi nasional tertangguh secara serius’.

    Pada Oktober lalu, Jong Un mengarahkan usaha 80 hari di seluruh negara itu untuk melonjakkan ekonomi menjelang kongres berkenaan, menerusi waktu kerja yang panjang dan penambahan tugas untuk pekerja. – AFP

    Gambar yang dikeluarkan oleh kerajaan Korea Utara menunjukkan pemimpin Kim Jong Un menghadiri kongres parti pemerintah di Pyongyang, Korea Utara pada 5 Januari 2021. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda