Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara beri amaran susulan pelancaran peluru berpandu

    SEOUL, 9 NOV – Menteri Pertahanan Korea Utara kelmarin telah memberi amaran mengenai lebih banyak ‘tindakan menyerang’, susulan kritikan Washington dan Seoul terhadap pelancaran peluru berpandu balistik terbaru Pyongyang.
     
    Pelancaran peluru berpandu Korea Utara pada Jumaat berlaku hanya lebih seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang sedang mengadakan lawatan ke rantau itu, menyatakan minat untuk bertemu dengan pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un. Pyongyang bagaimanapun tidak memberi sebarang maklum balas terhadap tawaran itu.
     
    Menteri Pertahanan Pyongyang, No Kwang Chol berkata, Washington “telah berani dalam langkah ketenteraannya untuk mengancam keselamatan” Korea Utara dan ia “dengan sengaja meningkatkan ketegangan politik dan ketenteraan di rantau ini.”
     
    “Kami akan menunjukkan lebih banyak tindakan menyerang terhadap ancaman musuh,” katanya menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) rasmi Pyongyang.
     
    Tentera Seoul telah ‘menggesa Korea Utara untuk segera menghentikan semua tindakan yang meningkatkan ketegangan antara kedua-dua Korea’, menurut kenyataan rasmi mereka.
     
    Minggu lalu, Trump mengumumkan, beliau telah meluluskan rancangan Korea Selatan untuk membina kapal selam berkuasa nuklear.
     
    Namun, Ahli Parlimen Korea Selatan yang diberi taklimat oleh agensi risikan pertahanan berkata awal minggu ini, Pyongyang kelihatan bersedia untuk melaksanakan ujian nuklear ketujuhnya dengan segera sekiranya pemimpin Kim memutuskan untuk meneruskannya. – AFP
     
    Gambar fail No Kwang Chol semasa melawat pameran senjata, peralatan ketenteraan dan kenderaan di luar Moscow pada 23 April 2019. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda