Korea Utara bertegas bebas COVID-19

SEOUL, 2 APRIL – Korea Utara kekal sepenuhnya bebas daripada koronavirus, tegas seorang pegawai kanan kesihatan di Pyongyang, meskipun keraguan memuncak di luar negara ketika jangkitan disahkan seluruh dunia hampir satu juta.

Korea Utara, negara bersenjata nuklear yang sudah pun terasing segera menutup sempadannya selepas virus itu pertama kali dikesan di negara jiran China pada Januari, dan mengenakan langkah pembendungan ketat.

Pak Myong Su, pengarah jabatan anti-epidemik Ibu Pejabat Anti-epidemik Kecemasan Tengah Korea, menegaskan bahawa usaha-usaha telah berjaya sepenuhnya.

“Tidak ada seorang pun yang telah dijangkiti dengan koronavirus baharu itu di negara kami setakat ini,” kata Pak kepada AFP.

“Kami telah melakukan langkah awal dan saintifk seperti pemeriksaan dan kuarantin semua kakitangan yang memasuki negara kami dan disinfektan menyeluruh semua barangan serta menutup sempadan dan menyekat laluan air dan udara.”

Hampir setiap negara telah melaporkan kes koronavirus, dengan Pertubuhan Kesihatan Sedunia berkata kelmarin bahawa hampir satu juta jangkitan disahkan di seluruh dunia.
Selain China, Korea Selatan mengalami salah satu penularan wabak virus terburuk, yang telah mengorbankan lebih 45,000 nyawa di seluruh dunia.

Pakar-pakar telah berkata Korea Utara terutamanya terdedah dengan virus itu kerana sistem perubatannya yang lemah dan pembelot telah menuduh bahawa Pyongyang telah merahsiakan penularan wabak tersebut.

Komander tentera AS di Korea Selatan, Jeneral Robert Abrams, berkata hari ini kenyataan tegas Pyongyang ia tidak mempunyai kes adalah ‘tidak benar’.

“Saya boleh katakan bahawa ia adalah dakwaan mustahil berdasarkan semua risikan yang kami saksikan,” kata Abrams memberitahu VOA News.

Pihak tentera Korea Utara telah ‘berkurung’ selama 30 hari pada Februari dan awal Mac berkaitan pandemik itu, katanya. – AFP

Pegawai kesihatan disinfektan bilik pejabat di tengah-tengah kebimbangan COVID-19 di Hospital Pyongchon Daerah Rakyat di Pyongyang pada 1 April. – AFP