Friday, February 7, 2025
23.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara bidas Trump

    SEOUL, 1 Nov – Korea Utara membidas Presiden AS Donald Trump sebagai ‘tidak siuman yang tidak dapat diubati’ dalam bidasan peribadi sebelum lawatan pertama beliau ke Asia, ketika pemimpin Korea Selatan menegaskan Washington tidak boleh mengambil tindakan ketenteraan di semenanjung tanpa persetujuannya.

    Trump dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-Un berbalas-balas ancaman perang dan hinaan peribadi antara satu sama lain beberapa bulan kebelakangan ini, yang meningkatkan lagi kebimbangan tentang satu lagi konflik di semenanjung yang mana perang Korea pada tahun 1950-53 telah mengorbankan berjuta-juta orang.

    Pemimpin AS itu telah memberi amaran tentang ‘kemarahan yang meluap-luap’ dengan memberitahu Perhimpunan Agung PBB bahawa Washington akan ‘sepenuhnya memusnahkan Korea Utara’ jika ia terpaksa mempertahankan negaranya dan sekutunya.

    Washington dan Seoul telah bergabung dalam perlindungan keselamatan selama berdekad-dekad dan AS mempunyai 28,500 orang tentera yang ditempatkan di Korea Selatan untuk mempertahankannya dari Korea Utara.

    Trump menggelar Kim ‘Lelaki Roket’ dalam ucapan sama – Pyongyang telah menguji peluru berpandu yang mampu sampai ke kebanyakan kawasan tanah besar AS – dan beberapa hari kemudian Kim memberi respons dengan kenyataan peribadi dengan menggelar Trump ‘nyanyuk’, istilah samar bagi lelaki tua yang lemah atau nyanyuk.

    Presiden AS dijangka berada di Asia pada hujung minggu dan sebelum ketibaannya agensi berita kerajaan Korea Utara, KCNA membidas ‘retorik tidak bertanggung jawab dan berperang’ oleh ‘pakar kata-kata kesat’. Washington menghantar aset-aset penting ketenteraan termasuklah jet pejuang dan pesawat udara pengangkut dekat semenanjung ekoran ujian nuklear keenam Korea Utara pada September lalu, menyaksikan PBB mengenakan set kelapan sekatan ke atas negara terpencil itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda