SEOUL, 2 JULAI – Korea Utara membuka pusat peranginan besar di pantai timurnya, kata media kerajaan hari ini, dengan projek pelancongan yang dipromosikan pemimpin Kim Jong Un dilaporkan bersedia untuk mengalu-alukan para pelancong Rusia akhir bulan ini.
Digelar ‘Waikiki Korea Utara’ oleh media Korea Selatan, Kawasan Pelancong Pantai Wonsan Kalma boleh menampung hampir 20,000 orang, menurut Pyongyang, yang sebelum ini menyifatkannya sebagai ‘tempat peranginan budaya bertaraf dunia.’
Kim menunjukkan minat yang mendalam dalam membangunkan industri pelanco-ngan Korea Utara pada tahun-tahun awal pemerintahannya, kata penganalisis, dan kawasan peranginan pantai menjadi tumpuan khusus.
Zon pelancong dibuka kepada pelawat domestik kelmarin, lapor agensi berita pusat Korea (KCNA) di Pyongyang, menerbitkan gambar para pelancong dalam pakaian renang berwarna-warni bersantai di pantai.
Rakyat Korea Utara dari semua peringkat umur dari seluruh negara datang beramai-ramai ke tapak berkenaan minggu ini dengan perasaan teruja dan gembira kerana mengalami tahap peradaban baharu, lapor KCNA.
“Para pengunjung terkejut dengan keagungan dan keindahan bandar pelancongan itu, di mana lebih 400 bangunan rekaan artistik membarisi pantai berpasir putih dalam keharmonian yang ideal,” tambahnya.
Menurut agensi berita Korea Selatan, Yonhap, sekumpulan pelancong Rusia akan melawat zon di Korea Utara buat kali pertama pada 7 Julai. Kementerian Penyatuan Korea Selatan, yang menguruskan hubungan de-ngan Utara, berkata operasi tapak itu dijangka berkembang secara beransur-ansur, termasuk kepada para pelancong Rusia.
Kim berkata minggu lalu, pembinaan tapak itu akan menjadi salah satu kejayaan terbesar tahun ini dan Utara akan membina lebih banyak zon pelancongan berskala besar dalam masa yang sesingkat mungkin. – AFP


