SEOUL, 1 JULAI – Korea Utara hari ini mendakwa penularan COVID di negaranya bermula apabila penduduk negara itu menyentuh belon yang diterbangkan dari Korea Selatan – dakwaan yang sangat dipersoalkan yang dilihat sebagai usaha untuk menyalahkan musuhnya di tengah-tengah ketegangan mengenai program nuklearnya.
Para aktivis selama bertahun-tahun menerbangkan belon di sepanjang sempadan untuk mengagihkan ratusan ribu risalah propaganda yang mengkritik kepimpinan Kim Jong Un. Korea Utara sering kali meluahkan kemarahannya kepada aktivis dan pemimpin Korea Selatan kerana tidak menghalang mereka.
Pihak berkuasa kesihatan global berkata koronavirus menular melalui kontak rapat individu yang menyedut titisan bawaan udara dan ia berkemungkinan berlaku di ruangan tertutup, mempunyai aliran udara yang kurang baik berbanding luar bangunan.
Kementerian Penyatuan Korea Selatan berkata tidak mungkin belon dari negaranya mampu menyebarkan virus ke Korea Utara.
Hubungan antara kedua-dua buah negara kekal tegang di tengah-tengah kebuntuan dalam rundingan diplomatik yang dipimpin oleh Amerika Syarikat (AS) mengenai pujukan untuk Korea Utara menamatkan program nuklearnya. – AP
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2022/07/P11-B-WEB_02072022.jpg)