Sunday, June 30, 2024
23.3 C
Brunei

    -

    Korea Utara hantar lagi belon berisi ‘sampah’ ke Selatan

    SEOUL, 26 JUN – Korea Selatan mengatakan Korea Utara menerbangkan belon yang mungkin berisi sampah merentasi sempadan untuk hari kedua berturut-turut kelmarin, walaupun terdapat ancaman dari Selatan untuk bertindak balas dengan siaran propaganda anti-Pyongyang di kawasan sempadan.

    Peristiwa itu berlaku ketika kempen ala Perang Dingin antara kedua-dua Korea semakin memuncak selepas Korea Utara baru-baru ini menandatangani perjanjian pertahanan utama dengan Rusia yang menurut pakar boleh menggalakkan Korea Utara untuk melancarkan lebih banyak provokasi ke atas jirannya di selatan.

    Sebuah kapal induk pesawat Amerika Syarikat (AS) yang berlabuh sementara di pelabuhan Korea Selatan akan bertolak hari ini untuk latihan ketenteraan tiga hala baharu melibatkan Amerika Syarikat (AS), Korea Selatan dan Jepun.

    Tentera Korea Utara pada Isnin menggelar penempatan kapal induk pesawat itu sebagai ‘tidak bertanggungjawab’ dan ‘berbahaya’.

    Ketua Turus Bersama Korea Selatan berkata belon itu bergerak ke tenggara malam kelmarin selepas melintasi sempadan.

    Mereka meminta orang awam Korea Selatan untuk tidak menyentuh sebarang belon dari Korea Utara yang jatuh ke tanah dan melaporkannya kepada pihak berkuasa polis atau tentera.

    Kerajaan bandar Seoul kemudiannya menghantar mesej teks kepada penduduk, memberitahu mereka bahawa belon-belon itu telah sampai ke bandar, perjalanan yang mengambil masa kira-kira sejam dari sempadan dan menggesa mereka supaya berhati-hati dengan sebarang objek yang jatuh.

    Belon-belon itu merupakan pelancaran keenam oleh Korea Utara sejak akhir Mei. Korea Utara berkata aktiviti belon tersebut adalah tindak balas setimpal terhadap aktivis Korea Selatan yang menerbangkan risalah politik melalui belon. – AP

    Belon yang mungkin dihantar oleh Korea Utara dilihat di sawah padi di Incheon, Korea Selatan pada 10 Jun. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China pecat bekas menteri pertahanan

    BEIJING, 28 JUN - Bekas menteri pertahanan China, Li Shangfu telah dipecat daripada Parti Komunis yang memerintah kerana menyebabkan ‘kerosakan besar kepada puncanya’ melalui...