SEOUL, 31 JULAI – Korea Utara melancarkan dua peluru berpandu balistik jarak dekat berhampiran pantai timurnya pada hari ini, yang kedua seumpamanya dalam tempoh kurang seminggu, lapor agensi berita Yonhap memetik kenyataan Ketua Turus Bersama Korea Selatan (JCS).
Peluru berpandu pertama dilancarkan pada pukul 5:06 pagi manakala yang kedua pada pukul 5:27 pagi dari kawasan Kalma berhampiran pelabuhan timur Wonsan, menurut JCS.
Kedua-duanya dianggarkan terbang sejauh kira-kira 250 kilometer pada ketinggian 30 kilometer, kata JCS sambil menambah bahawa tentera Korea Selatan dan Amerika Syarikat (AS) kini menganalisis butiran lanjut.
Menteri Pertahanan Jeong Kyeong Doo berkata peluru berpandu itu dikenal pasti sebagai jenis yang berbeza daripada model sebelumnya yang dilancarkan Korea Utara, namun tidak mengulas lanjut.
Pelancaran itu dilakukan enam hari selepas Korea Utara menembak dua peluru berpandu balistik jarak dekat dari kawasan yang sama ke arah Laut Timur dalam tindakan yang dilihat sebagai provokasi pertamanya sejak Mei, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai prospek rundingan pembasmian senjata nuklear antara AS dan Korea Utara.
“Pelancaran peluru berpandu secara berturut-turut oleh Korea Utara adalah tidak kondusif kepada usaha mengurangkan ketegangan di Semenanjung Korea dan kami menggesa agar tindakan ini dihentikan,” kata JCS dalam satu kenyataan. – Bernama
