Wednesday, November 6, 2024
23.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Korea Utara lancar ICBM pada trajektori menegak’

    SEOUL, 31 OKT – Korea Utara melancarkan peluru berpandu balistik antara benua (ICBM) yang disyaki pada trajektori menegak ke arah Laut Timur hari ini, lapor agensi berita
    Yonhap, memetik kenyataan tentera Korea Selatan.

    Ketua Turus Bersama (JCS) Korea Selatan berkata pelancaran itu dikesan pada sekitar 7:10 pagi waktu tempatan dari kawasan Pyongyang, Korea Utara.

    “Peluru berpandu balistik Korea Utara dipercayai ICBM yang dilancarkan pada trajektori menegak,” kata JCS dalam mesej teks kepada pemberita.

    “Dalam kesiapsiagaan yang ditingkatkan, tentera kami mengekalkan kesiapsiagaan sepenuhnya sambil berkongsi maklumat balistik Korea Utara dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Jepun,” tambahnya.

    Pelancaran itu berlaku hanya beberapa jam selepas ketua pertahanan Korea Selatan dan AS mengecam penghantaran tentera Korea Utara ke Rusia dengan ‘satu suara’ dalam istilah terkuat semasa rundingan pertahanan tahunan di Pentagon kelmarin.

    Kali terakhir Korea Utara melancarkan beberapa peluru berpandu balistik jarak pendek adalah pada 18 September manakala pelancaran ICBM terakhir berlaku pada 18 Disember. – Bernama

    Gambar menerusi skrin televisyen menunjukkan siaran berita dengan rakaman fail ujian peluru berpandu Korea Utara, di stesen kereta api di Seoul pada 31 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda