Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara lancar peluru berpandu balistik tidak dikenal pasti

    SEOUL, 7 NOV – Korea Utara melancarkan sebuah peluru berpandu balistik hari ini, menurut tentera Korea Selatan, kira-kira seminggu selepas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump meluluskan rancangan Seoul untuk membina kapal selam berkuasa nuklear.

    Penganalisis menjangkakan rancangan Korea Selatan untuk membina kapal selam berkuasa nuklear akan mencetuskan tindak balas agresif daripada Pyongyang.

    Ketua staf bersama Korea Selatan berkata, Korea Utara telah melancarkan peluru berpandu balistik yang tidak dikenal pasti ke arah Laut Timur, merujuk kepada perairan yang juga dikenali sebagai Laut Jepun.

    Peluru berpandu itu jatuh ke laut di luar kawasan ekonomi Jepun dan tiada kerosakan atau kecederaan dilaporkan, kata Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi.

    Pelancaran dilakukan pada 12:35 tengah hari dari kawasan utara Pyongyang dan terbang sejauh kira-kira 700 kilometer, menurut tentera Korea Selatan.

    Korea Utara telah meningkatkan dengan ketara ujian peluru berpandunya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang menurut penganalisis bertujuan memperkukuh keupayaan serangan tepat, mencabar AS serta Korea Selatan dan menguji senjata sebelum berkemungkinan mengeksportnya ke Rusia.

    “Dari sudut pandang Korea Utara, kemungkinan serangan mengejut dari Laut Timur akan menjadi sumber kebimbangan,” kata seorang penyelidik yang mengetuai World Institute for North Korea Studies, Ahn Chan-il, kepada AFP.

    Tambahnya, “Jika Korea Selatan memperoleh kapal selam berkuasa nuklear, mereka akan dapat memasuki perairan Korea Utara dan memantau atau memintas senjata seperti peluru berpandu balistik yang dilancarkan dari kapal selam (SLBM) secara awal.”

    Trump sebelum ini mengumumkan, Korea Selatan akan membina kapal selam itu di AS, di mana teknologi nuklear merupakan rahsia ketenteraan paling sensitif dan dikawal ketat. – AFP

    Orang ramai duduk berhampiran televisyen yang menyiarkan berita dengan rakaman peluru berpandu Korea Utara di sebuah stesen kereta api di Seoul pada 7 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda