SEOUL, 4 NOV – Korea Utara melancarkan beberapa roket artileri sejam sebelum Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat (AS), Pete Hegseth, melawat sempadan yang memisahkannya daripada Selatan, menurut tentera Seoul kepada AFP hari ini.
Pyongyang juga menembak senjata serupa beberapa minit sebelum Presiden Korea Selatan, Lee Jae Myung, mengadakan perbincangan dengan pemimpin China, Xi Jinping, minggu lalu, menurut Ketua Staf Bersama (JCS) Korea Selatan.
JCS berkata, mereka baru-baru ini telah “mengesan kira-kira 10 roket artileri ditembak ke bahagian utara Laut Barat”, nama yang digunakan Seoul untuk Laut Kuning.
Senjata itu ditembak sekitar jam 3 petang pada Sabtu lalu dan sekitar jam 4 petang kelmarin.
“Perincian projektil itu kini sedang dianalisis dengan teliti oleh pihak perisikan Korea Selatan dan AS,” tambah JCS.
Hegseth melawat sempadan yang sangat dipertahankan memisahkan Korea Utara dan Selatan kelmarin, menjadi ketua Pentagon pertama dalam lapan tahun yang berbuat demikian.
Beliau melawat Panmunjom, kawasan gencatan senjata yang menjadi simbol pemisahan antara dua Korea, selepas singgah di Pos Pemerhatian Ouellette yang menghadap Zon Demilitarisasi (DMZ).
Hegseth dan rakan sejawatnya dari Korea Selatan, Ahn Gyu-back, “menegaskan semula kedudukan pertahanan gabungan yang kukuh dan kerjasama rapat antara Korea Selatan dan Amerika Syarikat,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Seoul. – AFP


