SEOUL, 28 FEB – Korea Utara menjalankan pelancaran ujian peluru berpandu jelajah strategik di Laut Kuning minggu ini, dalam satu latihan yang dikatakan Pyongyang hari ini bertujuan untuk menunjukkan keupayaan serangan balasnya.
Pemimpin Kim Jong Un menghadiri latihan tersebut, yang berlangsung pada Rabu, kata agensi berita pusat Korea (KCNA).
Peluru berpandu itu terbang selama 130 minit dan bergerak pada trajektori sepanjang 1,587 kilometer sebelum ia mengenai sasaran, menurut KCNA.
Pyongyang berkata latihan itu bertujuan memberi amaran kepada musuh Korea Utara tentang keupayaan ‘serangan balas dalam mana-mana ruang dan kesediaan pelbagai kaedah operasi nuklearnya’.
Gambar dalam media negara Korea Utara menunjukkan Kim, menggunakan teropong sambil dikelilingi pegawai.
Imej juga menunjukkan peluru berpandu memusnahkan sebuah bangunan kecil.
Semasa menghadiri latihan itu, Kim berkata menjadi tanggungjawab pasukan nuklear Korea Utara untuk mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara.
“Keupayaan kuasa serangan, katanya, berfungsi sebagai pencegahan dan pertahanan terbaik,” lapor KCNA. – AFP
