SEOUL, 30 Ogos – Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un, berjanji membedil lebih banyak peluru berpandu ke arah Jepun, sambil menegaskan tindakan provokasi itu cuma permulaan dalam berdepan kecaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan amaran Amerika Syarikat (AS) untuk bertindak balas.
Peluru berpandu jarak sederhana Hwasong-12 yang ditembak Pyongyang semalam, mewakili peningkatan mendadak berikutan ketegangan berhubung program senjatanya.
Sejak beberapa minggu ini, Korea Utara mengancam menembak peluru berpandu ke arah wilayah AS di Guam, memaksa Presiden Donald Trump memberi amaran Pyongyang berdepan ‘api kemarahan.’
Selepas pelancaran terbaru itu, Trump berkata semua pilihan sudah terbentang, mengulangi ancaman melancarkan tindakan ketenteraan beberapa hari selepas mengucapkan tahniah kepada Jong-un yang kelihatan mula menghormati AS.
Majlis Keselamatan PBB yang mengenakan tujuh set sekatan ke atas Pyongyang, berkata dalam kenyataan sebulat suara tindakan Korea Utara bukan saja mengancam rantau itu tetapi semua negara anggota badan dunia berkenaan.
Akhbar rasmi parti pemerintah Korea Utara, Rodong Sinmun, hari ini menyiarkan lebih 20 gambar pelancaran peluru berpandu itu berhampiran Pyongyang.
Satu daripadanya menunjukkan Jong-un tersenyum lebar dengan peta barat laut Pasifik berada di atas meja sambil dikelilingi pembantunya. – AFP