SEOUL, 13 MAC – Timbalan Menteri Luar Korea Utara, Pak Myong Ho mengadakan perbincangan di Mongolia dengan rakan sejawatnya, kata media kerajaan kelmarin, dalam satu lawatan luar negara yang jarang dilakukan oleh delegasi diplomatik Pyongyang.
Mongolia, tempat kelahiran empayar besar Genghis Khan, terletak di antara sekutu-sekutu utama Pyongyang iaitu Rusia dan China – bergantung kepada Rusia untuk import tenaga dan China untuk eksport bahan mentah, terutamanya arang batu.
Namun Mongolia telah berusaha untuk mengambil pendekatan neutral dengan dasar luarnya, mencari keseimbangan dalam hubungannya dengan kuasa-kuasa termasuk Amerika Syarikat, Jepun dan Korea Selatan, sambil mengekalkan hubungan dengan Korea Utara yang mempunyai senjata nuklear.
ak telah melakukan kunjungan hormat kepada Menteri Luar Mongolia, Battsetseg Batmunkh pada Ahad, sebelum mengadakan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Amartuvshin Gombosuren pada Isnin, menurut agensi berita pusat Korea (KCNA).
Kedua-dua pihak membincangkan untuk ‘membangun kerjasama mesra’ selaras dengan ‘tuntutan era baharu dan menyokong satu sama lain di pentas antarabangsa’, tambahnya, tanpa mengulas lanjut.
Kementerian Luar Mongolia berkata dalam satu kenyataan bahawa kedua-dua negara merancang untuk ‘meningkatkan kerjasama dalam bidang pendidikan, budaya, sukan, pertanian, kesihatan dan kemanusiaan’ sambil meningkatkan ‘lawatan timbal balik di semua peringkat’. – AFP
