Saturday, December 21, 2024
24 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara musnahkan jalan penghubung ke selatan

    SEOUL, 15 OKT – Korea Utara hari ini memusnahkan sebahagian jalan yang menghubungkan negara itu dengan Korea Selatan, kata tentera Seoul, sambil menambah ia telah melaksanakan operasi balas tembakan sebagai tindak balas.

    Tentera Pyongyang minggu lalu berikrar untuk menutup sempadan selatannya secara kekal selepas menghabiskan berbulan-bulan menyediakan bom dan membina penghadang antikereta kebal susulan pemimpin, Kim Jong Un, mengisytiharkan Selatan sebagai musuh utama negaranya.

    Utara juga menuduh Seoul menggunakan dron untuk menggugurkan risalah propaganda antirejim di ibu negara Pyongyang, di mana Kim mengadakan mesyuarat keselamatan untuk mengarahkan rancangan tindakan ketenteraan segera sebagai tindak balas, lapor media kerajaan, hari ini.

    “Korea Utara telah memusnahkan bahagian jalan Gyeongui dan Donghae di utara Garisan Persempadanan Tentera,” kata Ketua Turus Bersama hari ini, merujuk kepada infrastruktur antara Korea yang pernah menghubungkan kedua-dua buah negara.

    “Tiada kecederaan dialami oleh tentera kami, dan pasukan kami melakukan serangan balas di kawasan selatan MDL,” tambahnya.

    Jalan raya telah lama ditutup, tetapi memusnahkannya memberikan mesej yang jelas bahawa Kim tidak bersedia untuk berunding dengan Selatan, kata pakar.

    “Ini adalah langkah ketenteraan praktikal yang berkaitan dengan sistem dwinegara bermusuhan yang sering disebut Korea Utara,” kata Presiden Universiti Pengajian Korea Utara di Seoul, Yang Moo-jin kepada AFP.

    Korea Utara juga mungkin ingin membina lebih banyak halangan fizikal di sepanjang sempadan, kata Yang, sambil menambah pemusnahan jalan raya boleh menjadi persediaan bagi kerja pembinaan tembok tersebut. – AFP

    Seorang askar Korea Selatan memeriksa kenderaan tentera berhampiran pusat pemeriksaan tentera di jambatan Tongil, jalan menuju ke bandar Kaesong Korea Utara, di bandar sempadan Paju pada 15 Oktober. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda