Khamis, November 20, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea U, Rusia bincang kerjasama ketenteraan di Pyongyang

    SEOUL, 7 NOV – Pegawai kanan tentera Korea Utara dan Rusia membincangkan pengukuhan kerjasama dalam rundingan terbaru mereka minggu ini di Pyongyang, menurut media kerajaan Korea Utara hari ini.

    Laporan itu muncul beberapa hari selepas agensi perisikan Korea Selatan, dalam taklimat tertutup kepada penggubal undang-undang, berkata ia telah mengesan tanda-tanda aktiviti pengambilan dan latihan di Korea Utara, mungkin sebagai persediaan untuk pengerahan tentera tambahan ke Rusia.

    Agensi Berita Pusat Korea rasmi berkata pegawai Korea Utara, yang diketuai oleh Pak Yong Il, naib pengarah Biro Politik Am Tentera Rakyat Korea, mengadakan rundingan Rabu lalu dengan delegasi Rusia yang diketuai oleh Naib Menteri Pertahanan, Viktor Goremykin.

    KCNA berkata kedua-dua pihak membincangkan pengembangan kerjasama selaras dengan, “hubungan dua hala yang semakin mendalam” yang dibangunkan di bawah pemimpin Korea Utara Kim Jong Un dan Presiden Rusia Vladimir Putin.

    Bagaimanapun, laporan itu tidak menyebut sebarang perjanjian khusus. KCNA juga berkata delegasi Goremykin telah bertemu secara berasingan dengan Menteri Pertahanan Korea Utara, No Kwang Chol pada hari Khamis.

    Apabila ditanya sama ada pegawai Korea Utara dan Rusia mungkin telah membincangkan pengerahan tentera Korea Utara tambahan ke Rusia, Chang Yoon-jeong, jurucakap Kementerian Penyatuan Korea Selatan, berkata Seoul sedang memantau keadaan dengan teliti tetapi tidak akan membuat andaian.

    Menurut penilaian Korea Selatan, Korea Utara telah menghantar kira-kira 15,000 tentera ke Rusia sejak musim luruh lalu dan juga membekalkan sejumlah besar peralatan ketenteraan, termasuk artileri dan peluru berpandu balistik untuk menyokong perang Moscow menentang Ukraine. – AFP

    Askar Korea Utara dalam perarakan tentera yang menandakan ulang tahun ke-80 penubuhan Parti Pekerja yang memerintah, di Pyongyang, Korea Utara pada 10 Oktober. Korea Utara, Rusia bincang kerjasama ketenteraan di Pyongyang. – Gambar fail AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda