Tuesday, July 15, 2025
24.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara tanam puluhan ribu periuk api di sepanjang sempadan

    SEOUL, 17 JULAI – Korea Utara telah menanam puluhan ribu periuk api baharu di sepanjang sempadannya, memaksa tenteranya bekerja dalam keadaan yang teruk dan mengakibatkan banyak yang cedera, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan, hari ini.

    “Walaupun dalam keadaan panas terik dan musim monsun, tentera Korea Utara telah menanam periuk api dan mendirikan pagar di kawasan hadapan,” menurut kenyataan Kementerian Pertahanan.

    “Periuk api baharu yang ditanam dianggarkan berjumlah puluhan ribu,” tambah kenyataan itu.

    Dalam usaha selama berbulan-bulan untuk memperkukuh pertahanan di sepanjang Zon Bebas Tentera (DMZ) yang sudah pun menjadi salah satu kawasan yang paling banyak ditanam periuk api di dunia sekurang-kurangnya 10 insiden letupan periuk api telah berlaku, mengakibatkan ‘banyak kecederaan’ dalam kalangan tentera, kata kementerian tersebut.

    Tentera Korea Utara yang digerakkan untuk usaha itu dikatakan bekerja dalam keadaan yang teruk tanpa cuti hujung minggu atau pertukaran tugas, malah bekerja 12 hingga 13 jam sehari secara purata.

    Sekeping gambar yang dikeluarkan oleh kementerian menunjukkan tiga askar membawa kotak kayu, yang dikenal pasti oleh kementerian sebagai periuk api.

    Satu lagi gambar menunjukkan sekumpulan askar membawa rakan seperjuangan yang cedera di atas pengusung.

    Tentera Korea Selatan bersiap sedia menghadapi kemungkinan ‘pembelotan’ oleh tentera Korea Utara yang bekerja dalam ‘keadaan kerja yang buruk’, serta potensi pelanggaran lebih lanjut ke wilayah selatan, tambah kenyataan itu. – AFP

    Gambar AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda