Saturday, April 27, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Korea Utara tembak lagi artileri ke perairan Selatan

    SEOUL, 6 DIS – Korea Utara hari ini melepaskan lagi beberapa tembakan artileri ke perairan berhampiran Korea Selatan, hari kedua ia bertindak balas atas latihan menembak peluru hidup Korea Selatan di sempadan darat berhampirannya.

    Ketua Turus Korea Selatan mengatakan ia mengesan penembakan sekitar 90 artileri Korea Utara dari sempadan sepanjang pesisir pantai timurnya sekitar jam 10 pagi.

    Menurutnya, pembedilan yang kemungkinan daripada pelancar roket pelbagai, mendarat di bahagian utara zon penampan maritim antara dua Korea itu yang ditubuhkan pada 2018 bagi mengurangkan ketegangan sempadan.

    Penembakan berlaku sejurus Ketua Turus Tentera Rakyat Korea Utara mengatakan ia sudah mengarahkan unit sempadan untuk melancarkan artileri ke lautan sebagai amaran bagi latihan artileri Korea Selatan di kawasan berhampiran sempadan daratnya.

    Korea Utara juga melepaskan tembakan sekitar 130 artileri ke perairan berhampiran zon tersebut pada Isnin, sambil menuduh Selatan membangkitkan ketegangan tidak penting di kawasan sempadan itu.

    Tindakan terbaharu tentera Korea Utara itu memburukkan lagi perseteruan antara saingan itu, yang hubungannya merosot mendadak di tengah-tengah penggantungan berpanjangan rundingan nuklear antara Washington dan Pyongyang.

    Ia juga berlaku ketika tentera Korea Selatan menjalankan latihan peluru hidup membabitkan pelbagai sistem pelancar roket dan meriam katak dalam dua ujian berasingan di kawasan Cheorwon.

    Ia bermula pada Isnin dan akan berterusan sehingga esok. – AP

    Skrin TV menunjukkan imej fail latihan tentera Korea Utara semasa siaran berita di Stesen Kereta Api Seoul di Seoul, Korea Selatan. Tentera Korea Utara telah melancarkan pembedilan ke atas pesisir pantai berhampiran sempadan darat Korea Selatan susulan latihan peluru hidup oleh Seoul. – AP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gelombang haba landa pengundi ketika pilihan raya India disambung semula

    MATHURA, 26 APRIL - Kemelut pilihan raya India selama enam minggu disambung semula pada hari ini dengan berjuta-juta orang berbaris di luar pusat mengundi...