Friday, December 27, 2024
25.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Korea Utara terus kembangkan program nuklear – laporan

    SEOUL, 5 OKT – Korea Utara terus meningkatkan program pembangunan senjatanya meskipun berdepan dengan situasi ekonomi yang memburuk disebabkan oleh sekatan koronavirus, menurut laporan terkini Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

    Pyonyang yang di bawah beberapa sekatan antarabangsa mengenai program nuklear dan peluru berpandu balistiknya yang dilihat semakin dikembangkan di bawah pimpinan Kim Jong Un.

    Laporan tersebut diterbitkan selepas Pyongyang mencetuskan kebimbangan antarabangsa dengan beberapa siri ujian peluru berpandu yang diadakan dalam tempoh beberapa minggu, menyebabkan Majlis Keselamatan PBB untuk mengadakan perjumpaan tergempar.

    Laporan yang diterbitkan secara dalam talian hari ini, membuat liputan sejak 6 Februari hingga 3 Ogos, berkata Korea Utara terus mempergiat program senjatanya.

    “Walaupun negara tersebut menumpukan usaha dalam situasi ekonomi yang semakin memburuk, Korea Utara terus mengekalkan dan mengembangkan program nuklear dan peluru berpandu balistik,” menurut laporan, yang dikumpulkan oleh panel pakar pemerhati sekatan terhadap negara tersebut.

    Pyongyang tidak melancarkan sebarang ujian nuklear atau peluru berpandu balistik antara benua sejak 2017 namun laporan menyebut ujian ‘gabungan balistik dan teknologi yang dikawal’ telah dijalankan dengan aktiviti diteruskan di tapak-tapak utama berkaitan dengan program nuklear.

    Awal 2020, negara tersebut menutup sempadannya bagi melindungi dari ancaman pandemik koronavirus, yang pertama kali ditemui di negara jiran, China, namun ‘meneruskan usaha untuk mendapatkan komponen khusus dari luar negara dan mencari peluang untuk memindahkan produk mereka kepada rakannya,’ tambah laporan.

    Pyongyang tidak terlibat dalam rundingan nuklear sejak sidang kedua yang gagal di antara Kim Jong Un dan bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump di Hanoi dan menolak usaha Korea Selatan untuk menghidupkan semula dialog. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda