SEOUL, 26 OGOS – Korean Air mengumumkan akan membeli lebih daripada 100 pesawat Boeing dalam perjanjian terbesar dalam sejarah penerbangan Korea Selatan, hanya beberapa jam selepas Presiden Korea Selatan bertemu Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, di Washington.
“Korean Air mengumumkan hasrat untuk membeli 103 pesawat generasi baharu daripada Boeing,” kata syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan.
Pembelian tersebut, yang turut merangkumi enjin gantian daripada GE Aerospace, dianggarkan bernilai sekitar AS$50 bilion, dengan penghantaran pesawat dijadualkan sehingga penghujung tahun 2030.
“Tempahan pembelian pesawat itu termasuk 20 Boeing 777-9, 25 Boeing 787-10, 50 Boeing 737-10, dan lapan pesawat kargo Boeing 777-8F,” tambah syarikat berpangkalan di Seoul itu.
Perjanjian itu ditandatangani di Washington kelmarin, semasa pertemuan antara ahli perniagaan Korea dan Amerika Syarikat, yang disaksikan oleh Setiausaha Perdagangan, Howard Lutnick serta Kementerian Perdagangan, Industri dan Tenaga Korea Selatan.
Trump pada hari sama turut mengadakan pertemuan sulung dengan Presiden Korea Selatan, Lee Jae-myung, bagi membincangkan hubungan dua hala, hanya beberapa minggu selepas kedua-dua negara bersetuju dengan perjanjian perdagangan yang melibatkan pelaburan besar ke Amerika Syarikat. – AFP


