KUALA LUMPUR, 30 Okt – Korean Air, syarikat penerbangan utama Korea Selatan, mengendalikan Boeing 747-8 Intercontinental di laluan Kuala Lumpur-Incheon mulai Ahad lepas untuk memulakan jadual musim sejuknya.
Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) berkata B747-8i Korean Air itu menjadi pesawat pertama jenis tersebut mendarat di Malaysia.
Katanya 747-8i yang baru itu mempunyai reka bentuk enjin dan sayap terkini jet komersial besar yang dalam perkhidmatan hari ini, selain bahagian dalaman baharu inspirasi Dreamliner, yang termasuk lengkung baharu, seni bina ‘upswept’, yang memberi lebih banyak ruang dan keselesaan kepada penumpang.
“Pesawat itu boleh membawa 368 penumpang sejauh 14,815 km, selain lebih bersih, lebih senyap dan lebih menjimatkan minyak berbanding mana-mana 747 sebelum ini,” menurut MAHB dalam kenyataan hari ini.
Korean Air pada masa ini mempunyai 10 pesawat tersebut dalam kumpulan pesawatnya. Syarikat penerbangan itu mengendalikan penerbangan harian antara Kuala Lumpur dan Incheon. Ia berlepas dari Kuala Lumpur pada 11:59 malam dan tiba di Lapangan Terbang Incheon pada 7:10 pagi keesokan harinya. Bagi perjalanan pulang, penerbangan berlepas dari Incheon pada 4:50 petang dan tiba di Kuala Lumpur pada 10:25 malam. Penerbangan pertama Korean Air ke Kuala Lumpur adalah pada 1984. – Bernama