Koronavirus di malaysia belum di tahap kritikal

KLANG, 26 JAN – Keadaan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia belum lagi sampai di peringkat kritikal, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Buat masa sekarang ia belum lagi kritikal hingga kita perlu menghalang pelancong, contohnya. Kita perlu menilai bila peringkatnya kritikal. Namun kita akan terus melakukan pemeriksaan ke atas pelancong, apabila terdapat beberapa petunjuk yang mungkin telah dijangkiti,” katanya kepada media selepas menghadiri rumah terbuka Tahun Baharu Cina (TBC) 2020 di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebanyakan negara mengambil beberapa langkah kerana ia sesuatu yang amat serius memandangkan kita tidak mengenali penyakit ini sebelum ini.

“Bagaimanapun, manifestasi penyakit ini agak sukar dikesan. Ini persoalannya apabila orang ramai boleh bergerak dan pergi ke mana-mana dengan amat pantas. Sebelum anda boleh mengesan seseorang itu sakit, dia telahpun sampai ke destinasinya, jadi kita terpaksa menerima bahawa satu kawalan sepenuhnya adalah suatu yang mustahil,” katanya.

Rumah terbuka itu dihoskan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Dewan Perdagangan dan Industri Cina Klang (KCCCI) yang turut dihadiri oleh beberapa menteri kabinet.

Dr Mahathir berkata, setakad ini kerajaan belum ada rancangan untuk menghalang pelancong dari Wuhan, China daripada memasuki negara ini.

Ditanya sama ada kerajaan berhasrat untuk kuarantin semua pelancong China dan negara lain yang dijangkiti sejurus memasuki negara ini, Dr Mahathir berkata tindakan itu tidak sesuai dilaksanakan memandangkan jumlah pelancong negara berkenaan yang memasuki negara ini meningkat sehingga dua juta orang.

“Pelancong dari China kadang-kadang meningkat sehingga dua juta. Kita nak simpan dia di mana? Jadi yang mana ada simptom, ada sikit sign pun kita kuarantin mereka. Anda boleh hantar pulang mereka ke China tetapi dalam proses menghantar mereka pulang, mereka akan bersentuhan dengan orang lain. Adalah lebih baik mereka dikuarantin terlebih dahulu sehingga mereka menunjukkan tiada tanda, barulah kita hantar mereka pulang,” katanya. – Bernama

Tun Dr Mahathir Mohamad ketika Program Santai Bersama Usahawan Berjaya anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar di Setia City Convention Centre Setia Alam kelmarin. Tun Dr Mahathir Mohamad berkata keadaan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) di Malaysia belum lagi sampai di peringkat kritikal. – Bernama