Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kos ekonomi India semakin meningkat akibat jerebu

    NEW DELHI, 24 NOV – Jerebu bertoksik yang menyelubungi dataran di utara India bukan sahaja menyesakkan paru-paru penduduk dan meragut nyawa berjuta-juta orang, tetapi juga memperlahankan pertumbuhan ekonomi negara itu.

    Ibu negara India, New Delhi, kerap disenaraikan antara bandar paling tercemar di dunia. Setiap musim sejuk, pelepasan asap kenderaan dan kilang digabung dengan pembakaran ladang dari negeri-negeri sekitar, menyelubungi bandar itu dengan kabut tebal.

    Jerebu tersebut bulan ini mengandungi lebih daripada 50 kali ganda had yang disyorkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk zarah halus – zarah mikroskopik berbahaya penyebab kanser yang dikenali sebagai pencemar PM2.5, yang boleh memasuki aliran darah melalui paru-paru.

    Pakar mengatakan bahawa pencemaran udara yang semakin buruk di India memberi kesan buruk kepada ekonominya, dengan satu kajian menganggarkan kerugian sekitar AS$95 bilion setiap tahun, atau kira-kira tiga peratus daripada KDNK negara tersebut.

    Kos sebenar yang ditanggung India akibat pencemaran itu mungkin melebihi yang dianggarkan.

    “Kos luaran adalah sangat besar, dan awda tidak boleh memberikan nilai tertentu kepadanya,” kata Vibhuti Garg dari Institut Analisis Ekonomi dan Kewangan Tenaga.

    Bhargav Krishna daripada kolektif penyelidikan Sustainable Futures Collaborative yang berpangkalan di Delhi berkata, “kos ini bertambah pada setiap peringkat.”

    “Daripada kehilangan hari bekerja, kepada perkembangan penyakit kronik, kos kesihatan yang berkaitan dengannya, hingga kematian pramatang dan kesan yang ditanggung oleh keluarga mangsa,” kata Krishna kepada AFP. – AFP

    Pemandangan dari udara menunjukkan latar langit yang diselubungi jerebu tebal di New Delhi pada 17 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda