OMAN – Di kawasan pedalaman Oman yang gersang, bandar oasis purba, Bahla penuh dengan mitos dubuk bermulut api yang memakan unta dan manusia yang bertukar menjadi keldai – reputasi mengenai sihir dan misteri yang berterusan sehingga hari ini.
Segelintir orang Oman yang masih mempercayai perkara tahayul menjauhkan diri dari penempatan padang pasir yang terpencil itu kerana kisah-kisah mengenai jin, roh yang telah menjadi sebahagian daripada cerita rakyat Arab sejak sebelum kebangkitan Islam.
Bahla, sebuah bandar yang tenang dengan kebun kurma dan rumah-rumah berbata lumpur terbiar yang menyeramkan, terletak kira-kira 200 kilometer di barat daya ibu negara Muscat di wilayah Al-Dakiliya, dengan pintu gerbang berganda yang megah di pintu masuknya.
Di sini, di salah satu penempatan tertua di Oman, kepercayaan terhadap jin adalah kukuh, yang digambarkan sebagai makhluk ghaib yang berbeza daripada manusia dan malaikat yang hidup bersama-sama manusia.
“Kami percaya bahawa jin adalah sebahagian daripada ciptaan Allah. Jadi ia bukanlah sesuatu yang pelik,” kata pemandu pelancong, Hamad Al Rabaani di kubu zaman medieval Bahla, yang merupakan sebuah Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Kisah-kisah mistik menyelubungi Bahla, termasuk mitos popular yang menceritakan kuasa ghaib membina tembok sepanjang 13 kilometer di sekeliling bandar dalam satu malam, untuk melindunginya daripada penceroboh.
“Legenda ini melibatkan dua adik-beradik perempuan, kedua-duanya jin, seorang daripadanya membina tembok untuk perlindungan dan seorang lagi mencipta sistem pengairan purba untuk pertanian,” kata Rabaani, 55.
Konsep jin ini sudah wujud sebelum Islam, tetapi keterangan mengenai roh-roh ini terdapat dalam teks Islam, yang menyatakan mereka sebagai ciptaan Allah.
Walau bagaimanapun, tidak banyak tempat yang begitu kuat kaitannya dengan jin seperti Bahla, di mana ‘awda mendengar cerita mengenai lelaki yang tiba-tiba berubah menjadi keldai dan haiwan lain’, kata Rabaani.
Seorang wanita tua sering mendengar seseorang memerah susu lembunya selepas tengah malam, katanya. Tetapi setiap kali dia pergi untuk memeriksa, dia tidak menemui sesiapa di sana.
“Awda mendengar tetapi tidak pernah melihat, kerana fikiran awda tidak dapat menerimanya.”
Di souk lama Bahla, apabila kesunyian melanda selepas sembahyang Zuhur, sesetengah penduduk tidak selesa membincangkan reputasi bandar itu mengenai roh-roh, kerana takut ia mungkin mencemarkan imejnya.
Tetapi Mohammad al-Hashemi, penduduk Bahla berusia 70an, berkata sebahagian besar hidupnya telah dipengaruhi oleh kepercayaan ghaib.
Semasa kanak-kanak, dia diceritakan kisah-kisah mengenai dubuk yang lapar hendak memakan unta dan mempunyai mulut berapi yang berkeliaran di padang pasir pada waktu malam.
“Mereka selalu mengingatkan kami agar tidak keluar selepas matahari terbenam kerana terdapat sihir,” katanya kepada AFP di sebuah pasar raya berhawa dingin.
Cerita rakyat lisan dan teks-teks purba tertentu mengatakan jin adalah perkara biasa di kawasan penghujung Semenanjung Arab, menurut Ali A Olomi, seorang profesor sejarah Islam di Loyola Marymount University di Los Angeles.
Oman dan negara jiran Yaman, yang merupakan negara-negara paling selatan di Semenanjung Arab, ‘kedua-duanya mempunyai reputasi bukan sahaja sebagai tempat purba yang mempunyai kepentingan sejarah yang besar, tetapi sebagai tempat jin’, katanya.
“Di Bahla, terdapat cerita tentang hantu api dan kebakaran, ribut pasir yang hidup dan juga bangunan-bangunan yang dibina oleh kuasa ghaib,” kata Olomi, yang mengkhususkan diri dalam esoterisme dan astrologi Islam.
Salah satu sebab Bahla dipenuhi dengan kisah-kisah seperti itu adalah kerana ia merupakan sebuah kawasan terpencil pada zaman purba, dikelilingi oleh padang pasir dan pergunungan Hajar.
“Kewujudan jin di tempat-tempat seperti Bahla boleh memberikan kita banyak maklumat tentang sejarah dan budaya Semenanjung Arab,” kata Olomi.
“Ini adalah sejarah orang-orang yang tinggal di penempatan terpencil, yang belum tentu terhubung dengan penempatan-penempatan manusia yang lain dan yang sangat peka terhadap kehadiran alam sekeliling mereka.”
“Ini adalah sejarah orang yang tinggal di penempatan yang jauh, dikaitkan secara tidak menentu dengan penempatan manusia lain dan yang sangat merasakan kehadiran alam semula jadi di sekeliling mereka.”
Walau bagaimanapun, dalam kalangan generasi muda Oman, tidak semua orang mempercayai kewujudan jin, termasuk Mazen Al Khaterri, seorang guru matematik berusia 24 tahun di Bahla.
“Ia hanyalah kisah-kisah yang diceritakan oleh nenek moyang kami,” katanya di sebuah kafe di souk lama. “Kami tidak tahu sama ada mereka betul atau salah.”
Tetapi Hasan, seorang lelaki berusia 30 tahun yang tinggal di Muscat, berkata prasangka terhadap Bahla tetap berlaku.
“Keluarga saya tidak akan membiarkan saya pergi,” katanya, yang meminta hanya menggunakan nama pertamanya bagi melindungi privasinya.
“Khabar angin mengatakan ia adalah bandar jin, tempat di mana makhluk itu tinggal dan memiliki lebih banyak kebebasan.” – AFP