Monday, May 5, 2025
31.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kota kelahiran Lenin diberi nafas baru

    ULYANOVSK, Rusia – Suasana pengunjung yang ramai kini sudah jarang dilihat di Muzium Lenin yang terbesar di dunia yang terletak di bandar Ulyanovsk, Rusia.

    Pagar-pagar telah didirikan di sekelilingnya untuk melindungi pelawat selepas kejadian beberapa panel besar jatuh dari bangunan muzium tersebut.

    Tanda kesenian gergasi ‘Lenin’ masih terpacak di sana berhampiran dengan kotak batu putih Muzium Peringatan Lenin yang berada di tebing Sungai Volga, namun bandar kelahiran pemimpin Soviet itu cuba mencari identiti terbaru sempena 100 tahun selepas Revolusi Oktober.

    Bandar Raya Simbirsk yang berada 700 kilometer dari tenggara Moscow, di mana Lenin dilahirkan dan tinggal di sana sehingga umur beliau 17 tahun, telah dinamakan Ulyanovsk sebagai satu penghormatan selepas kematiannya pada tahun 1924. Ia telah menjadi tumpuan pelancong bagi peminat-peminat Lenin yang berasal dari negara-negara sosialis.

    Bagi ahli komunis, Lenin masih menjadi suatu perkara terbaik yang berlaku di Ulyanovsk, dan aktivis komunis berusia 68 tahun, Yevgeny Lytyakov berkata, bandar itu masih dalam pertumbuhan, lagi pula ia berstatus tempat kelahiran Lenin.

    “Sebelum revolusi, Simbirsk adalah sebuah bandar kecil yang kurang dikenali,” katanya.

    Tetapi gema Lenin tidak lagi sama seperti dahulu dan wartawan AFP hanya menyaksikan sejumlah pelawat di muzium pameran bandar itu.

    Seorang kanak-kanak perempuan kelihatan berlari melalui pancutan air di hadapan Muzium Peringatan Lenin di Ulyanovsk. – AFP
    Sebuah monumen pengasas Kesatuan Soviet, Vladimir Lenin, di muzium Peringatan Lenin di Ulyanovsk. – AFP
    Pengarah muzium Peringatan Lenin, semasa berada dalam ruangan pameran ketika diwawancara AFP di Ulyanovsk. – AFP
    Bekas pengarah Muzium Peringatan Lenin, Valery Perfilov, bercakap kepada wartawan AFP di hadapan rumah kelahiran Vladimir Lenin di Ulyanovsk. – AFP

    “Kami memanggil Ulyanovsk sebagai tanah air Lenin, tetapi semuanya sama, generasi-generasi mudanya telah berpindah,” kata Yelena Bespalova, ketua penyelidikan di Lenin Motherland Reserve, muzium kedua terbesar Lenin di bandar itu.

    Di dalam ruangan dewan berpermaidani merah di Muzium Peringatan Lenin, yang merangkumi kira-kira 4,000 meter persegi (43,000 kaki persegi), pameran itu mempersembahkan topeng kematian Lenin sehinggalah peta gergasi Kesatuan Soviet yang bercahaya merah. Sentuhan kontemporari termasuklah gambar mega Presiden Vladimir Putin, semasa lawatannya pada tahun 2002.

    “Kini secara praktikalnya muzium terbesar (Lenin) yang tinggal adalah milik kami, di tanah tempat kelahirannya,” kata bekas pengarah Valery Perfilov, 70, yang masih bekerja di sana.

    Muzium ini pernah dibiayai oleh Parti Komunis dan mempunyai kira-kira 5,000 pengunjung setiap hari, tetapi selepas perpecahan USSR “semuanya hancur,” katanya.

    “Kami ditinggalkan tanpa pendanaan.”

    Kini muzium itu dibiayai oleh kementerian kebudayaan serantau dan pengarah semasa. Lidiya Larina berkata kompleks itu, termasuklah dewan konsert, menerima setengah juta pelawat setiap tahun, namun mengakui ianya sudah ‘lapuk’.

    Menurut Larina, bersempena pembaharuan menjelang ulang tahun Lenin ke-150 tahun pada tahun 2020, dia ingin membawa paparan interaktif serta kedai-kedai dan kafe yang lebih baik.

    Muzium ini juga mengalihkan fokusnya dari Lenin sebagai seorang tokoh politik sehinggalah zaman kanak-kanaknya di Ulyanovsk, kata Larina, kepada peranan Lenin sebagai seorang ideologi pada era Soviet.

    Plak di sekolah lama Lenin menyebutnya sebagai “Vladimir Ulyanov, ketua kerajaan Soviet Rusia dan USSR dari tahun 1917 sehingga 1923”.

    “Ada beberapa orang berkuasa, menurut dari pandangan mereka bahawa mereka sangat gembira kerana dapat memecahkan seluruh memori Revolusi Oktober dan Lenin,” adu ahli komunis Lytyakov.

    “Tetapi kaum masyarakat tidak akan membiarkan perkara ini berlaku.”

    Muzium Lenin Motherland Reserve, yang mempunyai dana persekutuan, mempunyai tujuan yang berbeza – untuk memberikan keadaan suasana Simbirsk pada hari Lenin. Ia adalah sebuah muzium terbuka, bangunan kayu yang dicat berwarna-warni di kawasan kejiranan di mana Lenin tinggal – keluarganya sering berpindah secara kerap – termasuklah sebuah stesen bomba dan kedai.

    “Misi organisasi kami adalah untuk memelihara kawasan lama Simbirsk,” kata timbalan pengarah pembangunan Oksana Solovei.

    Kompleks itu mempunyai lebih 200,000 pengunjung setiap tahun, kebanyakan dari penduduk tempatan, katanya.

    “Malangnya kita tidak mempunyai ramai pelancong asing sepertimana semasa zaman Soviet.”

    Muzium ini juga memberikan gambaran sisi gelap, dengan adanya pameran tahun 1917 yang mendokumenkan rampasan dan rompakan dari penjenayah yang telah dibebaskan dan juga bekas tentera.

    “Ia sangat berbahaya walaupun hanya berjalan di jalanan. Pada tahun 1917, perintah berkurung bermula pada pukul 6 petang,” kata Bespalova.

    Bandar ini juga mencari penduduk peribumi yang terkenal lainnya, termasuk novelis abad ke-19, Ivan Goncharov, dan mungkin mengakhiri penguasaan Lenin oleh kerana imejnya. Pereka berusia 26 tahun dari Ulyanovsk telah mencipta pelbagai poskad, magnet dan cawan menarik yang mempersembahkan apa yang mereka sebut sebagai ‘pemandangan alternatif’ bandar tersebut.

    Satu poskad itu mempunyai slogan ‘Ulyanovsk – tanah air yang sungguh berbakat’ dan kartun termasuklah Goncharov.

    “Kami tiada apa-apa tentangan terhadapnya – Vladimir Ilyich,” kata pereka Nataliya Chebarkova. “Tetapi ia sesuatu yang baik untuk memberitahu orang ramai bahawa Ulyanovsk bukan semata-mata Lenin dan USSR.” – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda