Oleh Nurdiyanah R. –
Tatkala kita menyentuh butiran-butiran tasbih pasti lisan dan hati juga turut berzikir memuji Ilahi.
Semakin banyak kita bertasbih, ia sebenarnya lebih mendekatkan kita kepada Sang Pencipta, sekali gus mengingatkan diri bahawa segala pujian itu selayaknya untuk Yang Maha Kuasa.
Bahkan, apabila kita mendekatkan diri kepada Allah SWT sambil bertasbih, ia mampu memberikan ketenangan dan pancaran cahaya di jiwa raga serta mengusir segala resah serta gelisah dalam meniti liku-liku kehidupan ini.
“Apabila kita merenung sejenak, sejauh mana kita selaku umat Islam di negara ini mempraktikkan nilai-nilai Negara Zikir itu dalam kehidupan kita sehari-hari? Dengan pembuatan tasbih ini, saya berharap agar ia mampu menjadi salah satu usaha untuk sama-sama menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir,” itulah antara ungkapan kata-kata daripada pengusaha produk pembuatan tasbih tempatan, Haji Mohamad Haranadi bin Haji Buntar atau lebih senang disapa dengan panggilan Haji Nadi semasa berkesempatan ditemui Media Permata, baru-baru ini.
Dengan menjalankan perusahaan di bawah Syarikat Nur Ala Nur sejak tujuh tahun lalu, pada saat meniti waktu persaraan, beliau yang kini berusia 62 tahun ini mengongsikan perusahaan pembuatan produk tasbih berasaskan bahan-bahan daripada kayu-kayu tempatan dan juga negara jiran yang secara tradisinya mempunyai khasiat tersendiri dan haruman aromaterapi.
Antara jenis kayu yang digunakan dalam pembuatan tasbih berkenaan termasuk kayu malam, semala, bidara, tolong-tolong, limpanas, badi, nibong, bulian, sakang seribu dan lain-lain.
SENTUHAN TASBIH DI DUA KOTA SUCI BERIKAN INSPIRASI
Ketika mengimbas kembali detik mula berhasrat untuk menerokai perusahaan pembuatan tasbih ini, Haji Nadi menjelaskan segalanya terinspirasi ketika beliau menunaikan ibadah umrah dan haji di mana semasa menyaksikan variasi jualan kesenian produk tasbih yang bukan hanya daripada bahan kayu dan batu tetapi juga keluaran tasbih digital oleh para penjaja di kota suci Mekah dan Madinah, maka dari situlah hatinya mula tertarik dengan perkembangan pengusaha meskipun banyak persaingan di depan mata namun kegigihan mereka tidak pernah luntur untuk mencari rezeki dalam kehidupan sehari-hari.
“Kalau orang di sana boleh membuat tasbih, kenapa kita orang Brunei sendiri tidak mampu mengusahakannya, lebih-lebih lagi kita melihat persekitaran khazanah alam anugerah Ilahi di bumi Negara Brunei Darussalam kita ini memiliki banyak sumber kayu yang pastinya berpotensi mengandungi keistimewaan khasiat tersendiri khususnya dari segi perubatan dan juga perlindungan diri dengan izin Allah SWT jua,” ujarnya.
Tambah Haji Nadi, seperti kayu limpanas, ia terkenal sebagai sejenis kayu yang ditakuti oleh binatang-binatang berbisa. Begitu juga kayu bidara dengan manfaat tersendiri khusus dalam perubatan Islam termasuk daunnya bagi menghalau gangguan makhluk halus.
Selain itu, keunikan kayu semala kebiasaannya bukan hanya digunakan untuk dijadikan bahan asas bagi membuat gegawi namun keistimewaan yang dimilikinya juga menjurus kepada nilai aromaterapi.
“Jika sumber-sumber kayu itu diolah menjadi produk tasbih maka secara tidak langsung mampu dijadikan satu usaha dalam mendidik jiwa si pemakainya untuk terus melazimi diri dengan amalan berzikir,” kongsinya.
BUKAN MUDAH, PERLU ADA JIWA ‘KECINTAAN’
Haji Nadi turut menjelaskan bukanlah suatu yang mudah untuk memantapkan kesenian pembuatan produk berkenaan bahkan beliau telah banyak menuntut ilmu dan mengasah kemahiran pembelajaran asas bersama golongan pengusaha yang pakar dari negara jiran khususnya dalam bidang tersebut.
Beliau yang sebelumnya hanya membuat produk tasbih secara bersahaja untuk kegunaan peribadi mahupun sebagai cenderamata kepada sahabat-handai namun akhirnya disebabkan sambutan dilihat semakin menggalakkan, maka dari situlah dirinya tekad mengusahakannya sebagai sumber mata pencarian secara sepenuh masa sehingga kini.
Dari segi proses pembuatan tasbih, Haji Nadi secara ringkasnya mengongsikan setelah mendapatkan kayu-kayu yang diinginkan oleh seseorang penempah, seterusnya dilakukan sesi pembuangan kulit kayu dan pemotongan secara kecil-kecil untuk direka bentuk menjadi pelbagai mengikut cita rasa seseorang pelanggan seperti bulat, bujur, bujur telur dan sebagainya dengan ukuran tertentu.
“Setelah itu dilakukan sesi menghalusi kayu-kayu yang sudah dibentuk itu dengan penuh teliti menggunakan kertas pasir sebelum diteruskan sesi merangkaikan biji-biji tasbih pada benang nilon yang dikhaskan. Namun semua itu memerlukan daya kreativiti dan inovasi yang tersendiri demi memenuhi cita rasa seseorang,” jelasnya.
Beliau lazimnya memperoleh bahan-bahan asas kayu untuk pembuatan tasbih daripada golongan penjual di Kompleks Pasarneka dan Tamu Tutong di samping bantuan orang-orang yang mahir dalam pencarian pelbagai jenis kayu.
Menerusi pembuatan tasbih berkenaan, lazimnya Haji Nadi menghasilkan koleksi Tasbih 33 dan Tasbih 99 di samping Tasbih 1,000 dan Tasbih 16,000 namun semua itu tertakluk mengikut tempahan tertentu.
Begitu indah sekali, dari segi ukiran tasbih yang diketengahkan oleh insan berjiwa kraf tangan kayu ini juga dapat dilihat keunikannya apabila ukiran pada kepala tasbih memiliki dua jenis bentuk rekaan ala menara masjid dan bedil yang sememangnya memperlihatkan keunggulan dan kedaulatan kesenian Islam di Negara Brunei Darussalam sendiri.
Bukan hanya mengetengahkan penghasilan produk tasbih serta proses pembaikan tasbih, beliau turut mempelbagaikan kemahiran yang ada dengan menghasilkan butang baju Melayu bagi kaum lelaki dan gelang berasaskan sumber kayu-kayu tersebut.
Dalam pada itu, sambil mencari rezeki menerusi perusahaan tasbih ini, Haji Nadi juga tidak melepaskan peluang dalam berbagi rezeki dengan menghasilkan produk Tasbih 7 yang kebiasaannya disumbangkan melalui ejen-ejen pengendali perkhidmatan pakej haji dan umrah tempatan bagi keperluan orang-orang yang bakal menunaikan ibadah umrah dan haji. Dengan adanya produk Tasbih 7 berkenaan, ia juga diharap dapat memberikan kemudahan kepada mereka khususnya semasa melakukan perkiraan tawaf dan saie sambil mengalunkan bacaan zikir dan doa-doa tertentu.
“Walaupun menyaksikan arus perkembangan ciptaan tasbih digital masa ini, saya secara peribadi tidak menjadikan perkara itu sebagai satu cabaran bahkan semuanya berbalik kepada niat seseorang ketika bertasbih. Namun perlu diketahui dengan penggunaan tasbih-tasbih kayu ini hakikatnya ia memiliki keistimewaan yang tersendiri, lebih-lebih lagi menerusi khasiat yang terkandung pada jenis-jenis kayu berkenaan dengan izin Allah SWT jua, di samping kita terus meningkatkan amalan bertasbih dalam rutin harian,” jelasnya di akhir pertemuan, baru-baru ini.