Oleh Amri HTZ
Penggunaan barangan yang diperbuat daripada kayu kini dilihat semakin popular di kalangan masyarakat dunia berbanding dengan penggunaan plastik. Barangan yang diperbuat daripada bahan tersebut adalah lebih hijau dan turut mampu bertahan lama berbanding plastik jika digunakan dan dijaga dengan betul.
Hal ini penting terutamanya untuk menempatkan bahan makanan di mana diketahui plastik mengandungi elemen berbahaya yang mampu menjejaskan kesihatan. Bagi mengelakkannya, latih diri untuk menggunakan kotak penyimpanan alami dengan mendapatkannya di pasaran atau lebih baik dengan merekanya sendiri.
Barangan diperlukan
Untuk mereka kotak menempatkan garam unik ini, barangan yang diperlukan adalah mesin router, mesin pemotong kayu meja atau band saw, mesin ketam kayu, kertas pasir, mesin gerudi, sebatang kayu, rod brass berukuran 5mm, gergaji besi, pita pengukur dan gam kayu.
Tumpu perhatian dalam pembuatan
Pada langkah pertama pembuatan, kayu yang telah disediakan akan dipotongkan menjadi bahagian kecil. Kayu yang digunakan di sini merupakan lebihan daripada projek sebelumnya berukuran 2” x 6”.
Dengan ukuran tersebut, ia akan dipotong dengan ukuran 1.2sm tebal dan 11.2sm lebar. Memotong menggunakan mesin band saw merupakan langkah yang lebih mudah namun melakukannya menggunakan mesin pemotong kayu juga dapat dilakukan selagi bilah pemotong boleh menampung lebar kayu yang diperlukan.




Sebelum beralih ke langkah memotong kayu dengan panjang yang diperlukan, potongan tersebut terlebih dahulu diratakan menggunakan mesin ketam kayu.
Ketam permukaan atas dan bawah dengan tebal 1mm yang akan menjadikan ukuran akhir 1sm tebal dan 11sm lebar. Langkah ini adalah bagi meratakan permukaan kayu yang tidak seimbang hasil daripada proses pemotongan sebelumnya (permukaan kasar terhasil daripada bilah pemotong).
Enam keping potongan kayu berukuran 1sm tebal dan 11sm lebar dengan panjang 135mm diperlukan untuk mereka sebuah kotak. Jika anda berniat untuk mereka lebih banyak kotak, anda hanya perlu menggandakan potongan bahagian-bahagian tersebut. Daripada enam kepingan kayu tersebut, tiga daripadanya iaitu untuk bahagian sisi dan penutup akan dipotongkan lagi dengan panjang 108mm (dua keping) dan 125.5mm (sekeping). Sementara sekeping daripadanya, untuk bahagian bawah, akan dipotongkan dengan ukuran 115.5mm lebar dan 125mm panjang.
Langkah seterusnya ialah mengecilkan sedikit lebar kayu (kecuali kayu untuk bahagian sisi, bawah dan belakang) dengan lebar 10sm. Ukuran sedemikian direka bagi membolehkan bahagian penutup nanti berada selaras dengan bentuk keseluruhan kotak apabila ia ditutup.
Dengan kepingan kayu yang siap tersedia tersebut, sudut percantuman kepingan bahagian sisi, depan dan belakang akan direka dengan teknik finger joint. Teknik yang memerlukan penuh perhatian agar finger joint yang direka antara cantuman selaras.
Selain menggunakan teknik merekanya secara manual menggunakan pahat dan gergaji kecil, menggunakan mesin pemotong meja atau router menggunakan jig (peralatan direka khusus bagi mendapatkan kedudukan dan jarak finger joint dengan tepat).
Pastikan setiap bahagian cantuman finger joint selari kedudukannya dengan bahagian kayu lainnya. Bagi memastikan langkah tersebut dilakukan dengan betul, sebelum mereka finger joint untuk bahagian cantuman lainnya, finger joint yang telah direka hanya perlu digandingkan dengan cantumnya kemudian menandakannya menggunakan pensel. Dengan langkah tersebut, anda akan mendapat kedudukan yang tepat bagi membolehkan finger joint antara kedua-duanya dicantumkan.
Bagi menempatkan kayu bahagian bawah kotak, kepingan kayu sisi, depan dan belakang akan direka groove menggunakan mesin router dengan kedalaman 5mm pada kedudukan 8mm dari sudut hujung kotak.
Selain itu, kayu bahagian bawah kotak juga perlu direka groove pada keseluruhan bahagian sisinya dengan kedalaman 5mm. Ini akan membolehkan bahagian bawah tersebut dimasukkan ke dalam groove yang telah direka pada bahagian sisi, depan dan belakang kotak.
Sebelum mencantumkan keseluruhan bahagian, potongkan rod brass yang disediakan menggunakan pemotong besi dengan ukuran 1sm untuk dua bahagian. Rod tersebut berfungsi sebagai engsel bagi membolehkan anda membuka atau menutup kotak dengan mudah.
Untuk kedudukannya, pada kayu bahagian penutup akan ditebuk dengan lubang berukuran 5mm atau 6mm menggunakan mata gerudi. Ruangan dalaman (atas) bahagian sisi kotak juga akan ditebuk dengan kedudukan yang selaras dengan lubang pada penutup kotak.
Jika berasa sukar untuk mendapatkan kedudukannya yang tepat dalam keadaannya tidak tercantum, anda boleh mencantumkan keseluruhan bahagian secara sementara memandangkan finger joint begitu mudah untuk dicantum dan dibuka semula.
Langkah seterusnya ialah mencantumkan keseluruhan bahagian secara kekal dengan memastikan sudut cantuman terlebih dahulu disapukan dengan gam kayu.
Gunakan gam kayu yang bebas kimia dan selamat untuk digunakan untuk makanan. Pastikan bahagian penutup dan bawah dimasukkan terlebih dahulu sebelum mencantumkan keseluruhan bahagian sisi, depan dan belakang.
Langkah terakhir merupakan pilihan tersendiri sama ada mahu mengubah warna asal permukaan kayu menggunakan wood stain atau wax yang selamat untuk makanan. Tujuannya bagi menimbulkan ira-ira yang terdapat pada permukaan kayu dan bagi menyamakan tema (warna utama) kawasan dapur anda .
Dengan terciptanya kotak khusus menempatkan garam dan sebagainya ini, ia setentunya mampu menambah ‘seri’ ruangan memasak anda !