KUALA LUMPUR – Karya seni jalanan berbentuk kotak mancis gergasi yang muncul di sekitar ibu negara telah menarik perhatian pemandu dan pejalan kaki.
Karya seni bandar ini merupakan kerja seni artis jalanan dan ilustrator terkenal, Chern Loo, yang lebih dikenali sebagai Cloakwork.
“Saya pertama kali menemui unit penyimpanan separuh terbuka yang terbiar di kawasan letak kereta stesen LRT Setiawangsa. Ia kelihatan menarik, jadi saya fikir, mengapa tidak memberikan objek ini nafas baharu? Ia boleh menjadikan kawasan tersebut kelihatan kurang usang dan membawa keceriaan kepada mereka yang meletak kereta dan menggunakan pengangkutan awam di sana,” kata Cloakwork, 33, dalam satu wawancara baru-baru ini.
“Saya menyukai idea memberikan nafas baharu kepada kotak mancis dan saya amat terpesona dengan reka bentuk klasiknya,” tambahnya.
Artis kelahiran Kuala Lumpur yang kini menjadi tumpuan ramai itu telah menghiasi jalan-jalan dan dinding ibu negara di Malaysia serta kawasan sekitarnya sejak 2010 dan telah menamakan projek terbaharunya sebagai SafetyMatchSeries.
“Saya akan terus mencipta sehingga persimpangan jalan atau peti utiliti atau elektrik ini habis – tiada had kepada berapa banyak yang akan saya buat,” katanya.
Bagi mereka yang ingin melihat ‘kotak mancis’ tersebut dalam perjalanan harian mereka, ia boleh dilihat di SPRINT Damansara Link, LDP berhampiran 1 Utama (Petaling Jaya), stesen LRT Setiawangsa dan Bulatan Kampung Pandan.
MEMBANGKITKAN NOSTALGIA
Sementara itu, Cloakwork kini mencari lebih banyak peti utiliti dan struktur tepi jalan yang terbengkalai untuk mempamerkan kreativiti beliau.
Hasil seni itu telah menyentuh hati para pemandu dan pejalan kaki di Kuala Lumpur, dan media sosial dibanjiri dengan hantaran nostalgia yang meraikan siri seni jalanan terbaharu Cloakwork.
“Datuk saya yang sudah meninggal dunia biasa menyuruh saya ke kedai untuk membeli mancis ini ketika saya masih kecil,” ujar seorang pengguna, manakala yang lain mengimbau kenangan kilang mancis di kampung halaman mereka.
“Hampir setiap keluarga pada tahun 1980an dan 1990an mempunyai kotak mancis ini untuk kegunaan rumah,” kongsi seorang lagi pengguna. “Reka bentuknya ikonik, terutamanya dengan warna merah dan kuning yang menonjol,” tambahnya.
Seorang pengguna Facebook malah menyamakan kotak mancis Cloakwork dengan ciptaan Pop Art milik Andy Warhol.
LEBIH BESAR IMPIAN, LEBIH BAIK
Tahun ini, karya Cloakwork bukan hanya mengenai kotak mancis; beliau baru-baru ini menerima tempahan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk melukis mural di bangunan UTC Pudu sebagai sebahagian daripada inisiatif SimpanBaikBaik. Mural itu menambah lagi suasana warna-warni Kuala Lumpur sambil mempromosikan tanggungjawab kewangan.
“Berpandu kepada tema utama, saya mencipta naratif yang menampilkan empat elemen visual utama – Potensi, Memori, Kesihatan dan Keluarga,” jelasnya.
“Hasilnya adalah latar visual yang menarik yang menekankan mesej utama, berhubung dengan orang ramai dan menggalakkan perkongsian sosial untuk impak yang lebih besar,” tambahnya.
Cloakwork berharap kedua-dua karya tempahan dan SafetyMatchSeries beliau akan menginspirasi generasi muda – daripada artis grafiti hingga ilustrator bebas – mempercayai bahawa tiada apa yang mustahil dicapai.
Seorang muralis atau artis jalanan, katanya, tidak memerlukan galeri untuk mempamerkan seni mereka; landskap bandar itu sendiri menjadi kanvas dan ruang pameran mereka.
“Awda boleh mempunyai impian besar dan akan sentiasa ada cabaran besar di hadapan, tetapi apabila awda mengatasinya, awda akan menjadi lebih besar seperti objek-objek ini yang muncul di bandar!,” katanya.
Dalam tahun-tahun kebelakangan ini, Cloakwork telah mengembangkan portfolio yang pelbagai, merangkumi segala-galanya daripada projek tempahan berskala besar (dengan jenama dan agensi besar) dan seni jalanan alam sekitar hingga projek bebas – berasaskan spontan dan konvensional.
Setiap karya telah menyumbang kepada perkembangan persona artistiknya. – ANN/The Star