Sunday, February 9, 2025
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kotak misteri cetus keinginan jadi ahli arkeologi

    Apabila Li Xia dan anak lelakinya yang berusia 10 tahun mengunjungi Muzium Shenzhen pada bulan Mei, anaknya tertarik dengan kotak misteri arkeologi yang mungkin membolehkan orang ramai untuk menggali tanah perlahan-lahan dan menemukan harta karun mereka sendiri.

    Anak lelaki itu meminta ibunya membeli kotak misteri itu dalam talian sebagai hadiah hari jadinya agar dapat merasakan ‘kegembiraan menjadi ahli arkeologi’.

    “Anak saya menghabiskan satu malam untuk meneroka kotak tersebut dan menjadikan dirinya ‘seorang ahli arkeologi’. Dia sangat tertarik dengan harta karun yang tersembunyi di dalamnya sehingga dia meminta saya untuk membawanya mengunjungi muzium yang menghasilkan kotak tersebut kemudian,” kata Li.

    Kotak misteri yang mereplikasi penggalian arkeologi merupakan produk unggul yang direka oleh Muzium Hunan di Changsha, wilayah Hunan. Sejak dilancarkan pada 2021, ia telah menjadi barang paling popular di kedai dalam talian muzium itu. Menurut pereka kotak penggalian itu, Zhang Lin, lebih 50,000 kotak sedemikian telah dijual di Taobao, platform dalam talian terkemuka di China.

    “Ia menawarkan cara yang menggembirakan untuk mencipta semula pengalaman bagaimana ahli arkeologi bekerja di tapak penggalian. Kebanyakan pembeli adalah golongan muda dan kanak-kanak,” kata Zhang.

    Kotak misteri gosokan batu dengan pelbagai corak adalah barangan popular yang direka oleh Muzium Henan di Zhengzhou, wilayah Henan, yang pertama di China membuat kotak penggalian arkeologi. – Gambar ANN/China Daily
    Pengunjung menyaksikan pameran yang memaparkan produk budaya popular yang direka oleh lebih 60 muzium terkemuka di seluruh China di Muzium Shenzhen pada Jun lalu. – Gambar ANN/China Daily
    Barangan di dalam kotak yang direka oleh Muzium Hunan membolehkan orang ramai merasai keseronokan penggalian. – Gambar ANN/China Daily
    Gambar ANN/China Daily

    Dengan menggunakan alat seperti penyodok Luoyang (barangan yang sering digunakan di tapak arkeologi untuk mengambil sampel tanah di China), berus dan sarung tangan, orang ramai dapat mengikuti langkah yang sama seperti yang dilakukan oleh ahli arkeologi untuk menemukan harta karun mereka sendiri. Bahagian yang paling menarik terletak pada perjalanan yang tidak diketahui bagi menemukan jenis harta karun yang akhirnya akan digali oleh seseorang.

    Semua penemuan arkeologi direka dalam satu siri kotak yang tidak diketahui isinya. Harta karun tersebut merupakan replika peninggalan budaya bersaiz kecil yang dipilih daripada koleksi Muzium Hunan, seperti barang tembaga dari Dinasti Shang (abad ke-16-abad ke-11 SM), pembakar kemenyan tembikar dari Dinasti Han (206 SM-AD 220) dan patung tanah liat dari Dinasti Tang (618-907).

    “Ia memberikan satu kepuasan rohani bagi golongan muda, seperti menerapkan gambar kartun dan ilustrasi ke dalam pembuatan kotak misteri,” kata Zhang.

    Sambutan hangat terhadap kotak penggalian arkeologi di kalangan orang muda telah menarik perhatian banyak muzium untuk terlibat sama ke dalam bidang itu, mereka kotak penggalian misteri dengan gaya mereka sendiri.

    Pada pertandingan reka bentuk produk budaya kreatif yang disertai lebih daripada 60 muzium utama di seluruh China, yang diadakan di Muzium Shenzhen pada bulan Jun, pelbagai kotak penggalian telah dipersembahkan.

    Muzium Guangdong di Guangzhou, wilayah Guangdong, menghasilkan kotak penggalian bawah air untuk mencipta semula penerokaan sebuah kapal yang teletak di lautan selama ratusan tahun, yang penuh dengan porselin diangkut ke Barat. Muzium Sanxingdui di Guanghan, wilayah Sichuan, mereplikasi lubang upacara korban dan menyembunyikan harta karun yang meniru artifak gangsa dan emasnya yang kelihatan eksotik.

    “Kotak penerokaan misteri merupakan ciptaan unik dari muzium di China. Ia menggabungkan konsep popular ekonomi kotak misteri dengan arkeologi. Ia menarik dan penuh dengan ketidakpastian, dan dengan demikian menimbulkan rasa ingin tahu orang ramai,” kata Timbalan Pengarah Institut Inovasi dan Komunikasi Kebudayaan Beijing dengan Beijing Normal University, Yang Mingyue.

    Yang mengatakan kotak penggalian misteri adalah contoh baik dari produk muzium yang dapat membangkitkan minat orang ramai untuk belajar mengenai arkeologi, subjek yang sering dianggap membosankan dan sukar difahami.

    “Di sebalik kotak kecil itu terdapat penghormatan orang ramai terhadap sejarah dan tamadun mereka selama ribuan tahun. Ia juga menunjukkan bahawa pembangunan produk budaya telah memasuki fasa penyediaan pengalaman dan penglibatan yang menggembirakan,” tambah Yang.

    Muzium Henan di Zhengzhou, wilayah Henan, adalah yang pertama di China menghasilkan kotak penggalian pada 2019. Ia telah membuat pelbagai siri kotak penggalian dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Penjualan kotak tersebut telah mencecah sehingga lebih 30 juta yuan (AS$4.2 juta), menurut ketua Parti Muzium Henan, Wan Jie.

    Wan menyifatkan pendapatan yang baik itu kepada rasa cinta golongan muda terhadap barangan muzium itu. Lebih daripada 60 peratus pengunjung mereka berumur di bawah 35 tahun dan lebih separuh daripada golongan muda itu adalah perempuan.

    Wan menganggarkan akan terdapat lebih 1.8 juta pengunjung tahun ini, di bawah had harian 10,000. Selain itu, membeli produk muzium adalah popular dalam kalangan golongan muda. – ANN/China Daily

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda