MILAN, 1 SEPT – Kalidou Koulibaly ‘menghadiahkan’ kemenangan dramatik buat Juventus awal pagi tadi dengan gol sendiri yang menyerahkan Napoli kekalahan pahit 4-3 dalam saingan Serie A selepas pasukannya bangkit daripada ketinggalan tiga gol.
Pemain antarabangsa Senegal itu tertendang bola ke gawang sendiri hasil sepakan percuma Paulo Dybala pada masa kecederaan bagi memberikan Juve tiga mata di Turin dan meletakkan skuad Maurizio Sarri di kedudukan teratas dengan enam mata, menyebabkan Napoli kempunan untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata.
“Ia adalah gol sendiri yang menyakitkan saya kerana ia hadir selepas satu kebangkitan luar biasa,” kata Koulibaly di Twitter.
Kesilapan Koulibaly mensia-siakan kerja keras pasukannya yang menghasilkan kebangkitan luar biasa, di mana gol-gol menerusi Danilo hanya selepas 20 saat dia dimasukkan sebagai pemain gantian, Gonzalo Higuain dan Cristiano Ronaldo pada minit ke-61 kelihatannya bakal memberikan juara bertahan Juve satu lagi kemenangan mudah.
Bagaimanapun, dua gol menerusi Kostas Manolas dan Hirving Lozano tidak lama selepas jaringan Ronaldo telah berjaya merapatkan kedudukan menjadi 3-2, sehingga Giovanni Di Lorenzo menjadikan kedudukan seri 3-3 dengan satu penyudah jarak dekat, sekali gus menjadikan sembilan minit terakhir perlawanan tegang.
Tetapi dengan sekurang-kurangnya satu mata hampir pasti, Koulibaly memberikan mimpi ngeri buat skuad Carlo Ancelotti, dengan menjaringkan gol sendiri di akhir perlawanan. – AFP
