Monday, March 31, 2025
26.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Kounde berang dipaksa beraksi dalam perlawanan tertunda

    BARCELONA, 28 MAC – Pertahanan Barcelona, Jules Kounde, meluahkan kemarahannya selepas dipaksa bermain menentang Osasuna dalam aksi La Liga semalam, dalam perlawanan tertunda yang diminta untuk tidak diteruskan oleh kedua-dua kelab.

    Barcelona, yang dikendalikan Hansi Flick, meraih kemenangan 3-0 dan kini mendahului La Liga dengan kelebihan tiga mata di puncak liga. Namun, Kounde menegaskan bahawa menetapkan perlawanan pada tarikh tersebut adalah satu tindakan yang tidak menghormati kelab dan pemain.

    Barcelona dan Osasuna sebelum ini telah membuat rayuan agar perlawanan yang ditunda pada 8 Mac lalu susulan kematian seorang doktor kelab Catalan itu tidak dijadualkan semula pada tarikh baharu ini. Namun, permohonan mereka tidak diendahkan.

    “Saya marah dengan tarikh perlawanan ini, saya rasa ia tidak normal,” kata Kounde kepada DAZN.

    “Saya tahu ada yang sukar memahami perkara ini dan kami bertuah dapat melakukan apa yang kami suka… tetapi saya anggap ini sebagai satu ketidakadilan kepada kelab untuk bermain pada tarikh ini.

    Aksi Pedri berebut bola dalam perlawanan La Liga Sepanyol antara FC Barcelona dan CA Osasuna di Estadi Olímpic Lluís Companys, Barcelona, semalam. – AFP

    “Bukan sahaja Barcelona, tetapi Osasuna juga mempunyai pemain antarabangsa… mereka juga tidak mendapat rehat yang mencukupi.”

    Kounde baru sahaja bermain selama 120 minit bersama pasukan kebangsaan Perancis dalam aksi Liga Negara-negara menentang Croatia pada Ahad, di mana pemain Osasuna, Ante Budimir, turut beraksi untuk pasukan lawan.

    “Ia boleh berlaku kepada Barcelona, Osasuna, atau Real Madrid, tetapi bagi saya ini bukan sekadar isu ketidakadilan kepada kelab, malah kepada para pemain juga,” tambah pertahanan Perancis itu.

    “Mereka perlu faham bahawa kami bukan mesin. Untuk beraksi dengan baik dan memberikan persembahan terbaik kepada peminat, kami perlukan rehat.

    “Saya rasa semua pihak berkaitan, bukan hanya La Liga, perlu memahami perkara ini.”

    Sementara itu, jurulatih Barcelona, Hansi Flick, turut melahirkan rasa tidak puas hati selepas pemain tengahnya, Dani Olmo, mengalami kecederaan daripada perlawanan itu. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda