SIBU, 7 APRIL – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak perlu meningkatkan kesiapsiagaan dalam menghadapi cabaran baharu selaras dengan hasrat kerajaan negeri menerajui penggunaan tenaga alternatif di negeri itu, kata Ketua Pengarahnya Datuk Nor Hisham Mohammad.
Beliau berkata selaras dengan komitmen kerajaan Sarawak untuk menerajui ekonomi hidrogen hijau dan menjadi hab tenaga boleh diperbaharui, JBPM perlu memberi perhatian khusus kepada aspek keselamatan dalam projek pembangunan tenaga ini.
“Pembinaan projek mega seperti stesen bahan api pelbagai, Hab Hidrogen (H2) Sarawak, Sistem Transit Aliran Rel Autonomi (ART), serta pertumbuhan industri minyak dan gas yang pesat, memerlukan pendekatan holistik dan tindakan proaktif daripada JBPM,” katanya.Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) JBPM Othman Abdullah di Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024, serta penyampaian sijil perkhidmatan kepada pegawai bomba Sarawak, di sini hari ini. Nor Hisham turut mengumumkan pembinaan dua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu di Engkilili dan Dalat akan dimulakan tahun ini, selain projek sambungan BBP Sungai Asap dan BBP Tatau yang akan dilaksanakan dalam tempoh sama.
Beliau berkata inisiatif itu adalah sebahagian usaha berterusan JBPM untuk meningkatkan kecekapan operasi dan mempercepat masa respons kecemasan, terutama di kawasan pedalaman yang menghadapi cabaran geografi.
Nor Hisham berkata pada masa yang sama usaha pembelian bangunan untuk BBP Kota Sentosa di Kuching turut dipergiatkan bagi memperkukuh kehadiran JBPM di kawasan itu, dengan keseluruhan projek itu melibatkan peruntukan RM42 juta di bawah Rolling Plan Kelima (RP5) dan RM4.9 juta akan disalurkan tahun ini. – Bernama
