Sabtu, 22 November 2025
29.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPDN buka 88 kertas siasatan penipuan pakej umrah

    TENOM, 7 JAN –  Bahagian Penguatkuasaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuka 88 kertas siasatan berkaitan aduan penipuan pakej umrah baru-baru ini, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

    Beliau berkata pada 22 Disember tahun lepas, sekumpulan pengguna mendakwa menjadi mangsa penipuan umrah membuat aduan kepada Bahagian Penguatkuasaan KPDN di Putrajaya dan beberapa negeri lain.

    Armizan berkata aduan itu melibatkan kesalahan syarikat umrah tidak mematuhi keputusan Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) yang menetapkan award yang perlu dibayar syarikat kepada mangsa terlibat.

    “Sebahagian siasatan telah lengkap dan setakat ini, sebuah syarikat yang berpangkalan di Putrajaya telah menerima notis untuk pendakwaan yang akan berlangsung Selasa depan.

    Pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Program Pengedaran Barang Perlu, LPG dan Community Drumming (PoS to PoS) di sekitar Tenom di sini hari ini.

    Armizan berkata isu penipuan umrah dalam bidang kuasa KPDN dikaitkan kepada aspek kepenggunaan, sementara aspek pelesenan, elemen jenayah dan lain-lain adalah di bawah bidang kuasa kementerian serta agensi lain.

    “Mengambil kira isu dan kes melibatkan penipuan umrah semakin banyak, saya telah mengarahkan Ketua Setiausaha KPDN untuk mengadakan perbincangan segera melalui sebuah jawatankuasa yang melibatkan agensi berkaitan.

    “Usaha ini penting untuk penyelarasan dan mengenal pasti tindakan-tindakan yang perlu dilaksanakan untuk memastikan perlindungan yang lebih holistik kepada para pengguna dalam pengurusan umrah dan haji,” katanya. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda