Sunday, September 8, 2024
22.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPDN cadang perluas stesen minyak tanpa subsidi

    PADANG BESAR, 15 FEB – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bercadang memperluas stesen petrol dan diesel tidak bersubsidi ke negeri sempadan, kata menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub.

    Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Projek Rintis Pembekalan Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi Di Perlis hari ini, beliau berkata negeri terlibat ialah Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.

    Menurut Salahuddin, beliau akan mengemukakan cadangan itu dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini.

    “Projek rintis pembekalan petrol RON95 dan diesel di Perlis ini adalah inovatif kementerian bagi mengatasi isu ketirisan bahan api bersubsidi yang sering kali diseludup ke negara jiran.

    “Kita cadangkan agar lebih banyak stesen minyak (stesen petrol dan diesel tidak bersubsidi) akan dibuka sebelah negeri sempadan iaitu Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak,” katanya.

    Salahuddin (kiri) mengisi minyak diesel tanpa subsidi sebuah lori kontena selepas merasmikan Projek Rintis berkaitan Pembekalan Minyak Petrol RON95 dan Diesel Tanpa Subsidi kelmarin. – Bernama

    Salahuddin berkata sebelum ini kerajaan mengalami kerugian hampir RM150 juta setahun akibat ketirisan tersebut.

    Beliau berkata walaupun harga petrol RON 95 dan diesel diapungkan, harganya masih rendah berbanding negara jiran dan pada masa sama pengusaha stesen minyak tempatan masih mendapat keuntungan.

    Katanya pihaknya mengalu-alukan pembekal minyak yang berminat untuk membuka stesen petrol dan diesel tidak bersubdi dan akan membantu dari segi mendapatkan lesen.

    Terdahulu, Salahuddin turut menyampaikan 50 bakul Rahmah kepada mereka yang kurang berkemampuan di Perlis.

    Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDN Datuk Azman Mohd Yusof, Pengarah Penguat Kuasa KPDN Azman Adam dan Pengarah KPDN Perlis Norazah Jaapar. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda