Saturday, September 14, 2024
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPDN pertingkat kerjasama dengan agensi lain banteras ketirisan

    MIRI, 26 OGOS – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meningkatkan lagi kerjasama dengan agensi berkaitan bagi membanteras ketirisan barang kawalan bersubsidi.

    Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali hari ini berkata ini termasuk, aktiviti penyeludupan ke luar negara dan penyelewengan jualan kepada sektor yang tidak berkelayakan menerima subsidi.

    Mengulas kes tangkapan terbaharu penyeludupan diesel bersubsidi di Sibu semalam, beliau berkata ia telah diterajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan kerjasama pasukan daripada lbu Pejabat Bahagian Penguat Kuasa KPDN Putrajaya.

    Armizan berkata siasatan kes itu diselaraskan SPRM di bawah Akta SPRM 2009 dan Kanun Keseksaan, selain Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dikawal selia KPDN.

    “KPDN akan memberikan kerjasama rapat dengan SPRM untuk memastikan siasatan terperinci dapat dilaksanakan, bagi membolehkan mereka yang didapati melakukan penyelewengan akan didakwa di mahkamah,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

    Terdahulu Armizan menghadiri Mesyuarat Isu Bekalan Minyak Petrol RON97 Bagi Kenderaan Pelancong Brunei/Indonesia, di pejabat KPDN di sini.

    Beliau berkata siasatan akan meliputi keseluruhan rantaian sindiket besar penyeludupan diesel, yang dipercayai beroperasi sejak tahun 2012 meliputi kumpulan penyeludup, sumber bekalan diesel termasuk stesen minyak dan pihak yang bersubahat memberikan perlindungan. – Bernama

    Datuk Armizan Mohd Ali ketika berucap pada Majlis Amanat Bersama Warga Penguat Kuasa KPDN di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), pada 23 Ogos. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda