Thursday, January 9, 2025
24.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPDN rampas cecair pencuci pakaian tiruan bernilai lebih RM19,000

    JITRA, 8 JAN – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kedah merampas 1,049 botol cecair pencuci pakaian berjenama yang disyaki tiruan dalam tiga serbuan di tiga pasar raya di daerah Alor Setar, Sungai Petani, dan Baling, semalam.

    Pengarahnya, Muhammad Nizam Jamaludin berkata dalam serbuan yang turut disertai wakil pemilik cap dagangan berdaftar pada kira-kira 11 pagi itu, sebanyak 283 botol dirampas di Alor Setar, 572 di Sungai Petani, dan 194 botol di Baling, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM19,897.

    Katanya rampasan dilakukan selepas produk tersebut dipercayai menggunakan cap dagangan berjenama yang dipakaikan dengan salah pada barangan berkenaan.

    “Operasi ini dijalankan berdasarkan aduan pemilik cap dagang berkenaan. Susulan itu, kami telah melakukan pemantauan dan risikan sejak September tahun lepas oleh anggota penguat kuasa KPDN Alor Setar, KPDN cawangan Sungai Petani dan KPDN cawangan Baling.

    “Hasil pemeriksaan, kami menemui sejumlah cecair pencuci pakaian tiruan di stor dan rak jualan premis berkenaan dan sitaan dilakukan untuk tindakan lanjut.

    “Pihak pasar raya telah diambil keterangan dan siasatan sedang dijalankan,” katanya pada sidang media hari ini.

    Menurut Muhammad Nizam, kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019.

    Katanya orang ramai diingatkan agar tidak menjual barangan tiruan kerana tindakan tegas akan diambil dan KPDN Kedah juga akan terus mempergiatkan pemeriksaan dan operasi selaras dengan inisiatif ‘KITA GEMPUR’. – Bernama

    Muhammad Nizam Jamaludin (tengah) menunjukkan botol cecair pencuci pakaian berjenama disyaki tiruan pada sidang media di Stok Eksibit KPDN negeri di Tunjang, kelmarin. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda