LABUAN, 5 NOV – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang menyiasat kenaikan tambang bot laju sebanyak RM3 sehala bagi perjalanan antara Menumbok dan Labuan yang berkuat kuasa sejak 1 November lepas.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali berkata siasatan itu dijalankan susulan aduan yang diterima daripada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Penyu, Datuk Limus Jury berhubung notis kenaikan tambang yang dikeluarkan oleh Persatuan Pengusaha Bot-Bot Laju Menumbok kepada pelanggan.
Beliau berkata pihaknya telah mengarahkan bahagian dan agensi di bawah kementerian itu untuk mengambil tindakan segera termasuk melibatkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dan Sektor Barang Kawalan dan Subsidi (SBKS).
“MyCC akan memulakan penyiasatan dari aspek amalan antipersaingan.
“Di bawah Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712), sebarang persetujuan antara perusahaan untuk menetapkan harga, tambang atau surcaj melalui pakatan sama ada melalui persatuan atau tidak adalah merupakan perlakuan kartel yang serius,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata perlakuan itu boleh dikenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada kutipan hasil syarikat.
“KPDN melalui MyCC mempunyai rekod mengenakan penalti kewangan sebanyak RM687.9 juta terhadap 270 syarikat yang terlibat dalam kartel dan monopoli bermasalah termasuk lima syarikat feri RORO di Langkawi yang telah dikenakan penalti berjumlah RM2.2 juta,” katanya. – Bernama


