Tuesday, May 13, 2025
25.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    KPLB Sabah beri komitmen penuh

    BELURAN, 31 Okt – Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan bekerjasama rapat dengan Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk mencari mekanisme terbaik mengatasi masalah keciciran pelajar di kawasan pedalaman.

    Menterinya Datuk Ewon Benedick berkata beliau mengambil perhatian masalah itu dan tidak mahu ia terus berlaku kerana boleh menjejaskan pembangunan insan di negeri ini.

    Katanya anak-anak yang tinggal di kawasan pedalaman harus dipastikan bersekolah sekurang-kurangnya hingga ke peringkat sekolah menengah.

    “Mekanisme terbaik perlu dilaksanakan untuk memastikan masalah keciciran pelajar di kawasan pedalaman ini diatasi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Kampung Sejahtera di Kampung Tagapalang Paitan, semalam.

    Sebagai contoh, katanya, di Kampung Tagapalang, ramai kanak-kanak tidak pergi ke sekolah disebabkan masalah perhubungan dan pengangkutan.

    Ewon berkata sekolah rendah yang hampir dengan kampung ini adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Abuan yang mengambil masa lima jam untuk sampai dengan menaiki bot.

    Katanya biarpun sekolah itu mempunyai Asrama Desa yang dibina oleh Perbadanan Pinjaman Sabah tetapi masih ada ibu bapa tidak menghantar anak mereka ke sekolah itu.

    Terdapat kira-kira 400 penduduk di Kampung Tagapalang dan mempunyai 26 rumah yang perhubungan hanya bergantung kepada sungai dan jalan raya yang hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda.

    Mengenai pelaksanaan program Kampung Sejahtera di kampung itu, Ewon berkata Kampung Tagapalang merupakan antara tiga kampung di Paitan yang terpilih di bawah program itu.

    Katanya kampung yang dipilih berdasarkan kampung yang mundur dan tidak mempunyai kemudahan infrastruktur asas dan kurang kegiatan ekonomi. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda