TAWAU, 12 SEPT – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) terus memberi komitmen tinggi kepada usaha menyediakan fasiliti bangunan serta kemudahan sekolah yang baik di seluruh Sabah, bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan dalam keadaan selesa.
Komitmen tinggi KPM itu terbukti dengan lawatan kerja Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek melalui Program Tindak Susul Parlimen ke Tawau, Kunak serta Semporna baru-baru ini, bagi melihat sendiri keperluan pembaikan bangunan sekolah daif di tiga daerah itu.
Mengikut data KPM, terdapat 305 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah telah diluluskan di Sabah sehingga kini, dan KPM sedang dan telah melaksanakan 996 projek pembinaan semula bangunan daif di sekolah di seluruh negara, dan daripada jumlah itu 680 projek atau 68.3 peratus merupakan di Sabah dan Sarawak.
Antara sekolah yang mendapat perhatian KPM ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Perdana di Tanjung Batu yang menumpang di bangunan lama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jambatan Putih, yang diperbuat daripada kayu sejak tahun 1997 dan sudah pun dalam keadaan uzur.
Bimbang dengan keselamatan pelajar dan guru sekolah itu, Anggota Parlimen Kalabakan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Batu, Datuk Andi Muhammady Suryady Bandy memohon pembinaan segera bangunan baharu SK Perdana di tapak berhampiran SMK Pasir Putih.
“Infrastruktur uzur sekolah itu membahayakan murid dan kita sangat mengharapkan dengan kehadiran menteri pendidikan untuk Program Tindak Susul Parlimen, melihat sendiri keadaan sekolah ini supaya pembinaan dan perpindahan sekolah baharu disegerakan. – Bernama


